Berita

Nor Azlina Mohd Saad dilantik Pengarah Eksekutif (Pengurusan) DBKL

- Diterbit 11 Jun 2025 5:30 PM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan pelantikan Nor Azlina Mohd Saad sebagai Pengarah Eksekutif (Pengurusan) yang baharu, berkuat kuasa serta-merta.

Pelantikan tersebut dimaklumkan menerusi kenyataan rasmi di laman Facebook DBKL hari ini.

Nor Azlina sebelum ini menyandang jawatan sebagai Pengarah Kewangan DBKL, dan dikenali sebagai pegawai kanan yang berpengalaman luas dalam tadbir urus kewangan serta pengurusan perbandaran.

“Sekalung tahniah diucapkan kepada Puan Nor Azlina Mohd Saad atas pelantikan ini. DBKL yakin pengalaman dan kepimpinan beliau akan terus memperkukuh pengurusan organisasi ke arah tadbir urus bandar yang lebih berkesan dan telus,” menurut kenyataan itu.

Pelantikan ini dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuh struktur pengurusan tertinggi DBKL, selaras dengan komitmen organisasi untuk membangunkan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya mampan, berdaya huni dan bertaraf antarabangsa.

Nor Azlina dijangka memainkan peranan penting dalam menerajui agenda pembaharuan pentadbiran dalaman DBKL serta menyokong pelaksanaan dasar-dasar pembangunan bandar yang progresif dan berpaksikan kepada keperluan rakyat.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas