Berita

Nilai Jualan Perdagangan Borong, Runcit Naik 6.7 Peratus Kepada RM142.5 Bilion Pada Ogos – Perangkaan

Foto kredit: DOSM
- Diterbit 12 Oktober 2023 6:11 AM MYT

PERDAGANGAN borong dan runcit Malaysia mencatatkan nilai jualan berjumlah RM142.5 bilion, meningkat 6.7 peratus tahun ke tahun pada Ogos 2023, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Sementara itu, bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan meningkat 2.0 peratus, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan 6.7 peratus tahun ke tahun bagi perdagangan borong dan runcit pada Ogos 2023 disumbangkan oleh subsektor perdagangan borong yang meningkat 6.2 peratus atau RM3.7 bilion kepada RM63.9 bilion

“Perdagangan runcit juga berkembang 6.3 peratus atau RM3.6 bilion kepada RM60.5 bilion, diikuti oleh kenderaan bermotor dengan peningkatan 9.7 peratus atau RM1.6 bilion kepada RM18.1 bilion,” katanya.

Selain itu, peningkatan 2.0 peratus atau RM2.8 bilion berbanding bulan sebelum disumbangkan oleh kenderaan bermotor dengan kenaikan sebanyak RM1.2 bilion atau 7.1 peratus manakala perdagangan runcit mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 1.4 peratus atau RM0.9 bilion dalam tempoh yang sama.

Perdagangan borong pula mengembang 1.2 peratus atau RM0.8 bilion berbanding bulan lepas, tambah beliau.

Bagi prestasi mengikut subsektor, Mohd Uzir berkata pertumbuhan 6.2 peratus tahun ke tahun dalam subsektor perdagangan borong disumbangkan oleh lain-lain pengkhususan jualan borong yang meningkat RM1.5 bilion atau 6.2 peratus kepada RM25.0 bilion.

Mengulas lanjut mengenai subsektor perdagangan runcit, beliau berkata kenaikan 6.3 peratus tahun ke tahun pada bulan ini disokong oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang meningkat 9.2 peratus atau RM1.9 bilion kepada RM23.0 bilion.

“Pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 9.7 peratus bagi subsektor kenderaan bermotor pada bulan Ogos dipacu oleh jualan komponen dan aksesori kenderaan bermotor yang melonjak 20.7 peratus atau RM0.8 bilion untuk merekodkan RM4.7 bilion.

“Ini diikuti oleh jualan kenderaan bermotor (6.2 peratus) dan penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor (21.6 peratus),” katanya.

Bagi perbandingan bulanan, subsektor ini meningkat 7.1 peratus, didorong oleh jualan kenderaan bermotor (13.2 peratus), jualan komponen dan aksesori kenderaan bermotor (1.6 peratus) dan penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor (1.8 peratus), kata Mohd Uzir.

Beliau menambah bagi indeks jualan runcit melalui internet, indeks ini merekodkan pertumbuhan 1.0 peratus tahun ke tahun pada Ogos 2023 berbanding 0.4 peratus pada Julai 2023.

Bagi nilai pelarasan musim, indeks ini menokok 3.9 peratus berbanding bulan sebelum. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas