Berita

Nelayan risau ikan tidak laku

- Diterbit 10 Ogos 2020 9:24 AM MYT

NELAYAN di Kuala Sanglang risau berikutan jualan ikan mereka kian merosot kerana peraih dan orang ramai didakwa enggan membeli hasil tangkapan mereka susulan penyebaran wabak COVID-19 di dua kampung dalam mukim berkenaan.

Ketika ditemui Bernama, Yaakob Bahari, 70, berkata hasil jualan ikannya mula merosot beberapa hari lepas mungkin disebabkan orang ramai takut untuk membeli ikan dan hasil laut dari nelayan di Kuala Sanglang, Perlis dan Kuala Sanglang, Kedah.

“Nelayan pi (pergi) ke laut, ikan ada, tapi masalah ikan tidak laku, orang luar tidak datang beli.

“Ikan yang tidak terjual ini dibuat ikan kering atau diberikan secara percuma kepada orang ramai daripada dibuang begitu sahaja,” kata nelayan itu yang tinggal di Kuala Sungai Baru.

Seorang nelayan di Jeti Kuala Sanglang, Kedah, Omar Teh, 58, berkata, harga ikan kembung merosot kepada RM3 sekilogram berbanding RM6 hingga RM8 sebelum penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Secara Bersasar (TEMCO) pada Sabtu lepas.

“Yang kena TEMCO tempat lain. Tapi kami turut terkena tempias apabila orang ramai tidak berani ke Kuala Sanglang sebelah negeri Kedah yang terletak bersebelahan Kuala Sanglang, Perlis untuk membeli ikan.”

Katanya, orang ramai keliru Kuala Sanglang, Perlis dengan Kuala Sanglang, Kedah menyebabkan kira-kira 80 peratus jualan ikan terjejas daripada biasa.

Kerajaan Perlis melaksanakan TEMCO selama 28 hari bermula Sabtu (8 Ogos) di Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Sehingga semalam, Perlis mencatatkan jumlah kumulatif 30 kes positif COVID-19 dengan 11 daripadanya merupakan jangkitan daripada Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga yang bermula di Napoh, Kubang Pasu, Kedah. -Bernama

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas