Berita

Negara berkabung tragedi korbankan sembilan anggota FRU, Saifuddin jamin siasatan dan kebajikan keluarga dan mangsa

Trak membawa 15 anggota FRU terbabit dalam kemalangan dengan treler membawa muatan batu di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan, pagi tadi. - Foto Ihsan Bomba
- Diterbit 13 Mei 2025 5:41 PM MYT

TRAGEDI yang menyayat hati menimpa pasukan keselamatan negara apabila sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Polis Diraja Malaysia (PDRM) disahkan terkorban dalam satu kemalangan di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Perak, pagi tadi.

Kemalangan melibatkan sebuah trak FRU dan lori muatan batu itu berlaku ketika anggota terbabit sedang dalam perjalanan pulang selepas menjalankan tugasan rasmi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menzahirkan rasa dukacita yang amat mendalam terhadap insiden tersebut dan menyifatkannya sebagai satu kehilangan besar buat negara.

“Insiden ini adalah satu tragedi yang amat menyayat hati buat saya dan seluruh rakyat Malaysia. Kehilangan insan tersayang dalam sekelip mata adalah satu dugaan yang sangat berat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain sembilan anggota yang terkorban, sembilan lagi dilaporkan sedang menerima rawatan akibat kecederaan yang dialami.

“Allahyarham anggota-anggota FRU ini telah menunaikan amanah mereka dengan penuh dedikasi dan keberanian demi keselamatan serta ketenteraman awam. Jasa mereka tidak ternilai dan akan sentiasa dikenang,” katanya.

Saifuddin berkata pihaknya turut memberi jaminan bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menguruskan semua urusan berkaitan insiden ini secara menyeluruh termasuk menyediakan sokongan kepada keluarga mangsa.

“KDN akan memastikan kebajikan semua waris yang terlibat dijaga sepenuhnya. Siasatan terperinci juga akan dijalankan oleh pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya.

Beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama mendoakan kesejahteraan roh mereka yang terkorban dan agar mereka yang masih dirawat diberikan kesembuhan segera.

“Marilah kita doakan agar roh para syuhada ini dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh,” katanya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas