Berita

NDMA lebih had: KKM tarik balik 10 produk

ANTARA produk yang ditarik balik KKM.
- Diterbit 30 Oktober 2019 3:23 PM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) menarik balik 10 jenis produk mengandungi impuriti N-Nitrosodimethylamine (NDMA) yang melebihi had dibenarkan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, tindakan tersebut dilakukan selepas pihaknya mengesan kandungan bahan kimia tersebut menerusi hasil penilaian dan ujian makmal oleh syarikat pemegang pendaftaran produk serta maklumat semasa daripada badan regulatori antarabangsa.

“Antara produk-produk tersebut adalah Zantac Syrup, Hyzan Tablet, Vesyca Film Coated Tablet, Pharmaniaga Ranitidine Tablet, Apo-Ranitidine Tablet dan Ranitic Tablet. Kesemuanya mempunyai nombor pendaftaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Noor Hisham, bahan tersebut hendaklah diteruskan oleh individu yang sedang mengambilnya dan sekiranya perlu mereka boleh mendapatkan nasihat daripada profesional kesihatan untuk penukaran kepada ubat lain.

“Individu yang sedang mengambil ranitidine diingatkan bahawa manfaat meneruskan rawatan adalah melebihi risiko akibat pengambilan ranitidine yang berpotensi mengandungi NDMA dalam kuantiti yang kecil.

“Ranitidine merupakan ubat yang digunakan untuk merawat pesakit yang mengalami pedih ulu hati dan ulser perut dengan cara mengurangkan kadar pengeluaran asid di dalam perut. Ia biasanya digunakan dalam jangka masa pendek iaitu beberapa hari sehingga beberapa minggu,” jelasnya.

Tambah Noor Hisham, NDMA pula adalah impuriti daripada kumpulan nitrosamine yang biasa ditemui pada paras yang rendah antaranya dalam makanan dan minuman tertentu, pencemaran udara dan hasil daripada proses pengilangan tertentu.

“Berdasarkan International Agency for Research on Cancer (IARC), NDMA boleh meningkatkan risiko terjadinya kanser kepada pengguna dalam jangka masa panjang.

“Walaupun risiko mendapat kanser akibat daripada penggunaan ubat ranitidine dalam jangka pendek adalah sangat rendah, KKM tetap memandang serius perkara ini.

“Tindakan regulatori yang sewajarnya akan diambil ke atas produk-produk tersebut hasil daripada keputusan penilaian yang dijalankan dan perkara ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” tegasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas