LAMBAKAN suplemen produk kesihatan di pasaran amat membimbangkan sehingga membuatkan ramai yang tertipu gara-gara taktik pengiklanan yang hebat.
Menyedari hal itu, ramai pengusaha yang bingung untuk memasarkan produk hanya kerana sikap tidak bertanggungjawab segelintir pihak.

Mengulas tentang hal itu, Ketua Pegawai Eksekutif Naturmeric, Shah Hafizul Manzar berkata bukan mudah untuk mendapatkan kepercayaan pelanggan terutamanya jika melibatkan hal kesihatan tubuh badan.
“Pengguna sekarang ramai yang bijak, kecanggihan teknologi hari ini digunakan untuk mencari ilmu tentang sesuatu produk sebelum memutuskan untuk menggunakannya. Jadi, kita sebagai pengusaha perlu bertindak dengan jujur, jangan sewenang-wenangnya menipu.
“Usah lokek melabur bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk memastikan produk yang akan dipasarkan benar-benar selamat digunakan oleh pelanggan,” katanya yang mengusahakan produk kunyit hitam, Naturmeric untuk suplemen kesihatan.
Bercakap kepada Wilayahku, beliau sanggup mengambil masa yang lama supaya produk suplemen dalam bentuk kapsul yang dihasilkan tidak mendatangkan kemudaratan kepada pengguna.
“Saya lihat tidak ramai syarikat tempatan dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang memandang serius perkara ini. Tidak dinafikan mungkin kerana ia memakan masa yang lama serta bajet yang besar namun saya melihat R&D ini adalah pilihan berani sebelum mengorak langkah yang lebih jauh di masa depan.
“Menyedari hal itu, saya cabar diri membawa sumber bahan mentah ini ke Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk diuji secara komprehensif. Ditambah dengan produk berasaskan herba ini mempunyai banyak kebaikan,” jelasnya.
Shah Hafizul turut menjadikan dirinya sebagai testimoni dalam menilai tahap keberkesanan kunyit hitam yang berasal dari India serta agak sukar untuk diperoleh itu.
“Jadual harian saya agak padat dan kurang masa untuk berehat, jadi saya turut mengamalkan pengambilan kunyit hitam yang digabungkan dengan habbatus sauda serta madu. Alhamdulillah ada perubahan yang saya dapat rasakan pada tubuh sekali gus menjadikan saya lebih yakin untuk menjadikannya produk komersial.
“Seperti yang sedia maklum, kunyit hitam merupakan bahan semula jadi yang sememangnya menjadi pilihan terkenal sebagai salah satu agen anti radang selain kaya dengan curcumin dan antioksidan untuk melawan radikal bebas dan masalah peredaran darah,” katanya yang kini turut mengusahakan ladang penanaman kunyit hitam seluas 40 hektar di Johor Bahru. – WILAYAHKU