KEMENTERIAN Luar Negeri (Wisma Putra) melalui Kedutaan Besar Malaysia di Tehran, Iran; Baghdad, Iraq; dan Amman, Jordan sedang memantau rapat perkembangan di Asia Barat susulan ketegangan terkini yang berlaku antara Iran dan Israel.
Menurut Wisma Putra, ekoran peningkatan ketegangan tersebut, Iran serta beberapa negara di rantau berkenaan, iaitu Iraq dan Jordan, telah menutup ruang udara mereka.
“Warganegara Malaysia yang berada di rantau tersebut dinasihatkan agar bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan gangguan kepada jadual penerbangan dan membuat penyesuaian sewajarnya terhadap rancangan perjalanan masing-masing.
“Warganegara Malaysia juga dinasihatkan untuk menangguhkan sebarang perjalanan yang tidak penting ke kawasan terjejas memandangkan situasi konflik yang tidak menentu,” jelasnya dalam kenyataan pada Sabtu.
Wisma Putra menambah, pada masa yang sama, warganegara Malaysia di Iran, khususnya mereka yang berada berhampiran kawasan terjejas, dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, mengikuti perkembangan terkini dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
“Semua warganegara Malaysia yang menetap atau sedang berada di Iran digesa untuk mengemas kini maklumat peribadi mereka dengan Kedutaan Besar Malaysia di Tehran.
“Kementerian ini kekal komited dalam memastikan kebajikan dan keselamatan rakyat Malaysia di luar negara melalui pejabat-pejabat Perwakilan Diplomatiknya,” katanya.
Sekiranya berlaku kecemasan atau terdapat rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular, sila hubungi Kedutaan Besar Malaysia yang terdekat seperti berikut:
KEDUTAAN BESAR MALAYSIA DI TEHRAN, IRAN
Alamat : No. 25, 2nd Alley, North Zarafshan St., Shahrak-e-Gharb
Nombor Telefon : +98 21 8807 2444
+98 21 8807 8606
+98 933 535 2602
E-mel : [email protected] / [email protected]
KEDUTAAN BESAR MALAYSIA DI BAGHDAD, IRAQ
Alamat : Mezzanine Floor, Babylon Rotana Hotel,
Al Abassi Street, Al Jadria, Baghdad, Iraq
Nombor Telefon : +964 787 859 8775
+964 786 497 0087
E-mel : [email protected]
KEDUTAAN BESAR MALAYSIA DI AMMAN, JORDAN
Alamat : No. 5, Hassan Al Kayed Street,
Off Abai Street, Abdoun, Amman 11183, Jordan
Telefon : +962 6590 2400
+962 78590 2400
E-mel : [email protected]