Berita

Nasib Rosmah dalam kes rasuah projek solar diketahui pada 18 Feb

- Diterbit 10 Februari 2021 11:00 AM MYT

KEPUTUSAN sama ada Datin Seri Rosmah Mansor perlu membela diri atau dibebaskan daripada tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek hibrid solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak akan diketahui pada 18 Feb ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram serta peguam Datuk Akberdin Abdul Kader dan Datuk Jagjit Singh.

Hakim itu turut menzahirkan penghargaan kepada pihak pendakwaan dan pembelaan kerana telah memberikan hujahan lisan yang komprehensif.

“Terima kasih kepada kedua-dua pihak kerana turut memberikan hujahan bertulis yang amat memuaskan. Saya akan memberikan keputusan pada 2.30 petang, 18 Feb,” katanya.

Pada 11 Dis tahun lepas, pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 23 saksi termasuk bekas Pegawai Khas Rosmah iaituDatuk Rizal Mansor, bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan ketika itu, Tan Sri Madinah Mohamed.

Perbicaraan kes itu bermula pada 5 Feb tahun lepas.

Rosmah, 69, berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin.

Terdahulu, Sri Ram berhujah bahawa terdapat keterangan daripada Rizal, yang merupakan saksi pendakwaan ke-21 (SP21), bahawa tertuduh telah mengarahkan beliau untuk meminta rasuah.

“Pembelaan telah berhujah bahawa tertuduh tidak meminta sebarang wang daripada Saidi (SP17) dan jawapan pendakwaan bagi poin ini …Pertuduhan terhadap tertuduh ialah bukan beliau sendiri yang meminta rasuah itu. Kes pendakwaan ialah beliau berbuat demikian menerusi SP21.

“Oleh itu, adalah tidak relevan hujah bahawa tertuduh tidak meminta rasuah secara peribadi daripada Saidi,” katanya sambi menambah bahawa Rosmah adalah seorang yang bijak kerana menggunakan Rizal sebagai ejennya.

Sri Ram berkata pihak pembelaan telah berhujah bahawa inferens yang negatif hendaklah dibuat terhadap pendakwaan kerana gagal memanggil orang gaji yang mengambil bagasi berisi wang yang dihantar ke kediaman rasmi Rosmah di Putrajaya.

“Keterangan tidak dicabar seorang ahli perniagaan yang juga rakan Rizal iaitu Datuk Ahmed Farriq Zainul Abidin (SP9) menyokong keterangan SP21 berhubung penghantaran wang itu. SP9 berkata dua orang gaji yang mengambil bagasi terbabit dan SP21 telah mengekori mereka ke dalam kediaman rasmi tertuduh. Apabila SP21 muncul kira-kira 30 minit kemudian, beliau datang dengan tangan kosong. SP9 dan SP21 kemudian telah ke Segambut.

“Keterangan ini sudah memadai bagi membuktikan penghantaran wang terbabit ke kediaman rasmi tertuduh dan keterangan SP21 mengesahkan bahawa tertuduh telah mengambil wang tersebut. Oleh itu, orang gaji terbabit bukanlah saksi penting dan hanya akan menyokong keterangan lain (jika diperlukan). Sudah terdapat sokongan yang mencukupi bagi menunjukkan bahawa keterangan SP21 adalah benar, oleh itu kegagalan memanggil orang gaji terbabit tidak mempunyai sebarang kesan.

“Justeru, hujahan agar mahkamah membuat inferens yang negatif dalam keadaan ini adalah tanpa merit,” katanya.

Sri Ram berkata pihak pembelaan telah berulang kali menekankan bahawa wang RM1.5 juta itu tidak diserahkan secara peribadi kepada tertuduh kerana bagasi terbabit tidak dibuka di hadapannya bagi membolehkan beliau melihat wang tunai itu.

“Tidak ada pertikaian bahawa wang RM1.5 juta itu telah ditunaikan oleh SP17 dan diletak di dalam bagasi yang telah dihantar ke kediaman peribadi tertuduh. Sebagaimana yang telah dihujahkan, ia boleh dibuktikan berdasarkan keadaan. Selain itu, perbualan antara SP17 dengan tertuduh mengesahkan bahawa beliau sememangnya tahu kandungan bagasi terbabit,” katanya.

Sri Ram berkata sasaran utama pembelaan ialah Rizal dan beliau dikatakan telah meminta wang itu untuk dirinya sendiri dan apabila ia dihantar, saksi tersebut menggunakannya tanpa pengetahuan tertuduh.

Bagaimanapun, Sri Ram berhujah bahawa adalah mustahil Rizal akan bertindak sendiri tanpa pengetahuan tertuduh.

Akberdin pula berhujah bahawa tawaran untuk memberikan sumbangan politik adalah idea asal Saidi dan bekas rakan kongsi perniagaannya, Rayyan Radzwill Abdullah, yang dimaksudkan untuk Datuk Seri NajibTun Razak sebagai ‘ucapan terima kasih’ kerana menyokong permohonan Jepak Holdings dan bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 dan bukannya untuk tertuduh.

Peguam itu berkata tidak ada keterangan konklusif bahawa Rosmah telah meminta dan menerima wang terbabit secara langsung.

“Malah orang gaji yang membawa bagasi didakwa mengandungi wang terbabit ke sebuah bilik tidak dipanggil untuk memberi keterangan oleh pihak pendakwaan,” katanya sambil menambah bahawa oleh itu, inferens yang negatif dan memihak kepada Rosmah hendaklah dibuat.

Jagjit pula berhujah bahawa keterangan Rizal hendaklah ditolak kerana beliau merupakan rakan subahat Saidi dan Rayyan Radzwill.

“Beliau pada mulanya didakwa bersama-sama Rosmah namun pihak pendakwaan telah menggugurkan pertuduhan terhadapnya bagi membolehkan beliau memberi keterangan terhadap tertuduh,” katanya.

Rosmah didakwa meminta RM187.5 juta dan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi sebagai ganjaran kerana menolong Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak, yang bernilai RM1.25 bilion daripada Kementerian Pendidikan secara rundingan terus. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas