Atlet Wilayah

Nasha sedia tempa nama di Kejohanan Dunia

AKSI Nasha (kanan) dalam Netball Super League tahun lalu
- Diterbit 12 Januari 2024 11:10 AM MYT

HAMPIR 11 tahun mendapat pendedahan dalam sukan bola jaring, kini atlet Nasha Nuraina Muhammad Aznal, 23, bercita-cita untuk menempa kejayaan bersama skuad kebangsaan di Kejohanan Dunia.

Berada di posisi pertahanan, setiap kali terpilih untuk tampil di pentas pertandingan, dia sebolehnya mencuba untuk memastikan skuad bola jaring menempa kejayaan yang tersendiri.

“Saya akan berusaha bersungguh-sungguh kerana setiap kali pasukan memperolehi kemenangan, secara tidak langsung ia juga merupakan kejayaan bagi diri saya sendiri,” ujarnya.

Selain itu, atlet Wilayah Persekutuan yang mesra disapa Nasha ini meletakkan sasaran untuk mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.

“Selagi apa yang dicita-citakan tidak tercapai, saya tidak mahu terlalu cepat meletakkan diri dalam zon selesa. Walau bagaimanapun alhamdulillah sejak kecil lagi, saya lihat perjalanan dalam dunia sukan bola jaring ini mudah,” ujar atlet yang mula bergiat aktif dalam sukan sejak berumur 12 tahun.

Menjadikan pemain Jamaican, Shamera Sterling sebagai idola kerana tahap kecergasan pemain tersebut, Nasha mengakui latihan yang kerap dan konsisten amat diperlukan dalam sukan tersebut.

“Bagi saya, kemahiran dan ketangkasan dalam bermain dapat diperolehi melalui kekerapan latihan yang dijalani. Sebagai pemain, kita perlu sentiasa fokus ketika berada di gelanggang,” ujar anak kelahiran Kuala Lumpur ini.

Sebagai pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa di Universiti Putra Malaysia (UPM), Nasha memberitahu dia menyimpan cita-cita untuk bergelar pengulas sukan apabila tamat pengajian pada tahun 2025 kelak.

“Sungguhpun mencintai sukan bola jaring namun saya tidak pernah sesekali mengabaikan pelajaran dan menjadikan gelaran atlet sebagai suatu halangan. Itu janji saya kepada diri dan keluarga.

“Kalau boleh saya ingin bergelar atlet yang berpendidikan tinggi. Malah besar harapan suatu hari nanti dapat menjadi pengulas sukan yang hebat,” ujar anak bongsu daripada dua orang adik-beradik ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas