MENTERI Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menyatakan bahawa nama dan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah dikeluarkan daripada laman sesawang Liberal International (LI) sebuah organisasi berdaftar yang berpangkalan di London.
Tegas Ketua Penerangan PKR tersebut, soal keanggotaan partinya di dalam organisasi tersebut tidak perlu diperjelaskan berikutan parti itu tidak pernah menjadi ahli gabungan organisasi tersebut.
“Semalam saya sudah maklumkan bahawa PKR tidak pernah menjadi ahli LI dan telah berhubung dengan pihak tersebut untuk meminta supaya nama dan logo PKR dikeluarkan daripada laman sesawang organisasi itu,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Program Pemerkasaan OKU Celik Digital di Lembah Pantai di sini hari ini.
Semakan terkini di laman sesawang organisasi itu mendapati nama dan logo PKR yang sebelum ini tersenarai bersama beberapa parti atau pertubuhan lain bagi negara-negara Asia sudah tiada dan hanya tujuh parti atau pertubuhan membabitkan Asia masih berada dalam senarai di laman sesawang Liberal International termasuk Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).
Sementara itu, Fahmi berkata pihaknya telah mengenal pasti lebih 200 hantaran di media sosial yang menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau dan PKR berikutan dakwaan tersebut.
“Ini adalah coordinated behavior (tingkah laku yang diselaraskan) dan ia juga adalah serangan politik.
“Saya telah mengarahkan peguam untuk mengambil kira tohmahan, fitnah jahat yang dibuat oleh beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab yang cuba mengaitkan PKR dengan LI dengan niat yang jahat.
“Kita akan teliti dan sekiranya terdapat keperluan, kita akan ambil tindakan perundangan,” katanya.- WILAYAHKU