AGENSI Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah menyalurkan peruntukan bantuan bencana berjumlah RM232 juta sebagai persiapan menghadapai bencana di seluruh negara.
Peruntukkan berkenaan disalurkan kepada semua negeri bagi tujuan diagihkan kepada Ketua Isi Rumah mangsa bencana yang terjejas dan memenuhi syarat kelayakan ditetapkan.
Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi, berkata, bagi kejadian bencana semasa musim Monsun Timur Laut (MTL), termasuk banjir, terdapat dua jenis bantuan bencana disediakan kerajaan persekutuan.
“Dua jenis bantuan disediakan iaitu Bantuan Wang Ihsan yang merupakan sumbangan sebanyak RM1,000 untuk ketua isi rumah yang terjejas akibat bencana dan berpindah atau berdaftar di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Sementara Bantuan Wang Ihsan Kematian pula merupakan sumbangan sebanyak RM10,000 untuk waris kepada
mangsa yang meninggal dunia akibat bencana.
“Sekiranya berlaku banjir besar di luar jangka, NADMA bersedia untuk menyalurkan peruntukan tambahan jika diperlukan mengikut permohonan oleh negeri berdasarkan jumlah sebenar ketua isi rumah yang terjejas akibat bencana,” katanya dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat.
Menurut Zahid lagi, semua perancangan itu akan diperhalusi dari masa ke semasa oleh pihak kerajaan.
“Selaras dengan matlamat pengurusan bencana adalah tanggungjawab bersama, kerajaan persekutuan,
kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, komuniti, (badan bukan kerajaan) NGO dan pelbagai pihak yang lain hendaklah berganding bahu bagi memastikan pelaksanaannya kelak adalah menyeluruh,” katanya. – WILAYAHKU