Berita

Nabila Razali selamat bersalin bayi lelaki

- Diterbit 24 Disember 2024 5:30 PM MYT

PENYANYI dan pelakon, Nabila Razali selamat melahirkan cahaya mata lelaki seberat 3.1 kilogram di sebuah pusat perubatan di ibu kota, kira-kira jam 10.01 malam tadi melalui kaedah pembedahan.

Berita gembira itu dikongsikan wakil pengurusan Nabila Razali Entertainment.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan, ibu dan bayi berada dalam keadaan sihat.

Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd Razali, 32, meluahkan kesyukuran dan menganggap kehadiran cahaya mata sulung dalam hidupnya dan suami Nik Iruwan , 39, sebagai hadiah paling bermakna dalam hidupnya.

“Alhamdulillah, ini adalah hadiah yang paling bermakna dalam hidup saya.

“Setiap detik yang saya lalui untuk mencapai momen ini penuh dengan cabaran dan harapan. Akhirnya Allah kurniakan amanah ini buat saya dan suami.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang sudah mendoakan kesejahteraan saya serta memberikan sokongan tidak berbelah bahagi selama ini,” katanya .

Nabila mengumumkan kehamilan pada Oktober lalu dan dijangka bakal bersalin pada awal tahun sebelum mengumumkan jantina bayi lelaki pada November.

Nabila dan Nik Iruwan bergelar suami isteri dalam majlis di Bukit Tinggi, Pahang pada 18 November tahun lalu.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas