Berita

Nabila Razali, Bella Astillah berduet dalam CACACA

- Diterbit 10 Disember 2024 5:44 PM MYT

PENYANYI Nabila Razali dan Bella Astillah buat pertama kalinya bergabung dalam lagu berentak pop ceria dengan elemen tarian berjudul CACACA.

Walaupun baru beberapa hari dilancarkan, lagu ciptaan Mage (Faithful Publishing), Ja’a (Faithful Publishing) dan Ezra Kong (Raksasa Studio) berjaya mendapat tempat di hati pendengar.

Menurut Nabila Razali, kemunculan lagu CACACA tepat pada masanya berikutan dia banyak menyanyikan lagu ‘galau’ sejak kebelakangan ini.

“Peminat banyak bertanya bila nak keluarkan lagu ‘catchy’ kerana sejak kebelakangan ini saya lebih banyak menyanyikan lagu sedih.

“Jadi apabila pihak Universal Music Malaysia mengusulkan lagu CACACA dan setelah mendengarkan demo lagu itu, saya terus setuju kerana ia kena dengan selera saya.

“Bila diberitahu yang saya akan bergandingan dengan Bella Astillah, lagilah saya tidak berfikir panjang. Selama ini kami hanya berjumpa di acara-acara, tapi kali ini jodoh kami kuat,” katanya yang ditemui di Majlis Media Gathering Nabila Razali & Bella Astillah – CACACA.

Sementara itu, Bella Astillah pula berkata dia tidak menyangka dapat berduet dengan Nabila Razali.

Katanya, CACACA menampilkan sisi nyanyian yang berbeza apabila dia membawakan lagu berentak pop ceria.

“Single saya sebelum ini, Tapi Bukan Denganmu berentak balada, jadi CACACA menguji kemampuan saya menyanyikan lagu rancak pula.

“Apa yang membuatkan saya berasa teruja kerana baru dua hari lagu ini dilancarkan, orang sudah mula menggunakan lagu kami di media sosial.

“Memang saya tak sangka dapat bekerjasama dengan Nabila, selama ini kami hanya bertembung di majlis-majlis tapi selepas ini kami akan membuat persembahan bersama-sama untuk menyanyikan lagu ini,” katanya.

CACACA menggambarkan keseimbangan antara usaha keras dan takdir dalam mengejar kejayaan.

Liriknya juga menyentuh tentang cabaran hidup yang tak terduga dan keinginan untuk mendapatkan kepuasan emosi.

CACACA sudah boleh didapatkan di semua platform penstriman digital, termasuk Spotify, Apple Music, dan YouTube Music.

Video muzik rasmi lagu itu turut dilancarkan serentak, menampilkan konsep visual yang penuh warna-warni dan koreografi bertenaga yang sesuai dengan tema lagu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas