Berita

MYGrocer@Wilayah cermin komitmen kerajaan tangani kos sara hidup rakyat Labuan

ZALIHA ketika menghadiri Tamu Budaya yang menghimpunkan 26 usahawan Labuan yang menjual pelbagai jenis produk dan barangan.
- Diterbit 11 Ogos 2024 7:07 PM MYT

INISIATIF MYGrocer@Wilayah yang dilancar di Pulau Bebas Cukai ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam menangani isu kos sara hidup yang semakin tinggi.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, MYGrocer@Wilayah adalah salah satu inisiatif berterusan kerajaan untuk memastikan barangan keperluan harian dapat dibeli dengan harga yang lebih rendah tanpa mengabaikan kualiti selain dilihat dapat mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Katanya, inisiatif yang juga di bawah Program Usaha Jaya Insan (PUJI) itu telah mula beroperasi di 26 kampung sekitar Labuan sejak Jun lalu.

“Semasa lawatan kerja pertama saya ke Labuan pada Januari lalu, saya telah mengambil peluang untuk mendengar pandangan dan keluhan rakyat Labuan melalui Sesi Temu Rapat Dr Zaliha dan intipati yang dibangkitkan pada sesi tersebut adalah terkait dengan isu kos sara hidup yang tinggi di Labuan.

“Sebagai solusi quick win pada ketika itu, saya telah meminta Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Perbadanan Labuan (PL) untuk mengambil tindakan segera bagi mencari penyelesaian terhadap isu yang dibangkitkan.

“Oleh itu, JWP membawakan perkhidmatan MYGrocer@Wilayah yang juga merupakan salah satu inisiatif di bawah Program PUJI.

“Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) turut bekerjasama dengan JWP yang membolehkan 5,529 asnaf WP Labuan berdaftar mendapatkan barangan keperluan asas dari MYGrocer@Wilayah melalui aplikasi boost MAIWP,” katanya pada Majlis Pelancaran MYGrocer@Wilayah dan Penganjuran Tamu Budaya di Dewan Terbuka Kampung Bukit Kalam, pada Ahad.

Hadir sama Ketua Pengarah JWP, Datuk Indera Noridah Abdul Rahim, Pengerusi PL, Senator Tan Sri Anifah Aman dan Ketua Pegawai Eksekutif PL, Rithuan Mohd Ismail.

Dalam perkembangan lain, bagi menambah baik pengoperasian MYGrocer@Wilayah,  Zaliha memaklumkan satu laman web telah dibangunkan yang diberi nama MyGrocer Online.

Katanya, menerusi patform laman web e-commerce akan memberi kemudahan kepada rakyat untuk membeli secara online.

“Pembukaan kedai secara dalam talian ini juga akan membuka satu lagi peluang pekerjaan iaitu servis delivery yang dinamakan sebagai ‘Wakeel’ yang akan memberikan perkhidmatan menghantar barangan yang telah ditempah oleh pembeli sehingga ke pintu rumah.

“Ini secara tidak langsung akan memberi limpahan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan sekali gus meningkatkan lagi sosioekonomi setempat,”katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas