KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengadakan Simposium Undang-Undang Persaingan bertajuk Behind Closed Doors: The Hidden Drivers of Market Distortion.
Menurut, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata simposium itu bertujuan mendalami isu-isu kritikal terkait persaingan seperti tipuan bida dalam perolehan awam, kenaikan harga makanan, rejim kawalan penggabungan dan dominasi pemain-pemain ekonomi digital.
“Sebagai badan bebas yang ditubuhkan pada tahun 2011, MyCC terus giat menjalankan kefungsian utamanya untuk melindungi proses persaingan bagi kepentingan perniagaan, pengguna dan ekonomi dengan menguatkuasakan peruntukan di bawah Akta Anti Persaingan 2010.
“Ini termasuklah membanteras amalan anti persaingan seperti kartel dan monopoli bermasalah yang menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup rakyat,” katanya.
Menurut Armizan bagi tahun 2024, MyCC berjaya menumpaskan beberapa kes kartel dan monopoli bermasalah di pasaran negara.
Katanya, antara kejayaan terbesar MyCC ialah melibatkan kes kartel oleh lima pengeluar makanan ayam utama di Malaysia dengan jumlah penalti kewangan sebanyak RM415.5 juta.
“Sejumlah RM1.5 juta penalti kewangan turut dikenakan terhadap 15 syarikat kerana terlibat dalam kartel tipuan bida,” katanya
Dalam masa yang sama, Armizan berkata MyCC telah mengeluarkan tiga keputusan cadangan terhadap 92 syarikat lain dan satu keputusan akhir terhadap tujuh syarikat berdasarkan bukti-bukti keterlibatan dalam kartel tipuan bida.
Beliau berkata sehingga kini, MyCC terus giat menyiasat lebih 500 syarikat yang disyaki terlibat dalam kartel tipuan bida berkaitan tender-tender kerajaan bernilai RM2.3 billion.
“Sehubungan itu, dalam usaha memperkasa gerak kerja MyCC untuk memecahkan tembok penguasaan kartel, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM27 juta kepada MyCC dalam Belanjawan 2025, iaitu jumlah tertinggi dalam sejarahnya.
“Dari aspek perundangan pula, MyCC juga sedang dalam proses cadangan untuk melaksanakan pindaan kepada Akta Persaingan 2010,” katanya.
Tambahnya, antara cadangan pindaan termasuklah mengenakan penalti yang lebih berat serta pemberian ganjaran kepada pemberi maklumat.
Beliau berkata MyCC juga akan memperkenalkan rejim kawalan penggabungan yang bertujuan untuk mengelak pembentukan awal kartel dan monopoli baharu. – WILAYAHKU