Berita

MyCC jalankan kajian am terhadap industri padi dan beras

- Diterbit 18 Februari 2025 11:24 AM MYT

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui agensinya Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dan berdasarkan pendekatan whole of nation telah mengambil inisiatif menjalankan kajian am terhadap industri padi dan beras selaras dengan kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Persaingan 2010 (Akta 713).

KPDN berkata kajian am ini bertujuan untuk mendalami rantaian bekalan serta cabaran yang dihadapi oleh setiap pemain industri merangkumi pesawah, pengilang, pemborong, pembekal baja dan racun dan lain-lain pihak yang relevan.

“Untuk makluman, dapatan serta syor yang diperolehi melalui kajian berkenaan telahpun dibentangkan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) pada 15 Oktober 2024, selaku kementerian yang bertanggungjawab serta mempunyai kuasa ke atas industri ini.

“Seterusnya, kajian tersebut telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara (JKKMN) Bilangan 2 Tahun 2024 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri pada 17 Disember 2024. Dalam mesyuarat tersebut, KPKM telah ditugaskan untuk meneliti syor-syor yang telah dipersetujui,” katanya ketika menjawab soalan yang dikemukakan Datuk Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) untuk menangani isu kartel dalam bekalan dan kawalan harga makanan.

KPDN berkata MyCC akan terus giat menjalankan kefungsian dalam membanteras amalan anti persaingan seperti kartel dan monopoli bermasalah termasuklah yang berkaitan dengan makanan.

“Antara kejayaan dan hasil usaha ini turut meliputi keputusan akhir MyCC yang mengenakan penalti kewangan sebanyak RM415.5 juta terhadap lima syarikat pengeluar makanan ayam yang didapati terlibat dalam kartel penetapan harga makanan ayam,” katanya.

Menurut KPDN, MyCC juga sedang memuktamadkan kajian am terhadap tiga pasaran barangan makanan yang diimport iaitu kelapa, bawang dan daging.

“Kajian am ini dilaksanakan berikutan dakwaan kartel oleh sesetengah pihak yang bimbang akan kenaikan harga tiga barangan makanan tersebut,” katanya.

Ujarnya, bagi mempertingkatkan lagi keberkesanan penguatkuasaan, MyCC juga sedang meminda Akta Persaingan 2010 (Akta 712) dan Akta 713 untuk memperkasa kuasa penyiasatan serta penguatkuasaan MyCC.

“Pada masa yang sama, MyCC giat menjalankan program advokasi melibatkan Kementerian dan agensi Kerajaan termasuklah orang ramai berkaitan kegiatan dan kesan buruk kartel,” katanya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas