Berita

MyCC buka rundingan awam, pengecualian perkongsian vesel dinilai semula

- Diterbit 28 Mei 2025 6:00 PM MYT

SURUHANJAYA Persaingan Malaysia (MyCC) pada Selasa membuka ruang rundingan awam kepada orang ramai dan pihak berkepentingan berhubung permohonan lanjutan pengecualian blok bagi Perjanjian Perkongsian Vesel (VSA) melibatkan perkhidmatan pelayaran tetap melalui pengangkutan laut.

Langkah ini susulan penilaian awal yang diterbitkan MyCC menjelang tamat tempoh perintah pengecualian sedia ada pada 6 Julai 2025, selaras dengan peruntukan di bawah Akta Persaingan 2010 (Akta 712).

Sesi rundingan awam secara dalam talian itu akan berlangsung selama 30 hari bermula hari ini, 27 Mei hingga 25 Jun 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail berkata, permohonan yang diterima pihaknya memohon supaya tempoh pengecualian blok VSA dilanjutkan selama lima tahun lagi.

“Maklum balas orang awam sangat penting dalam proses penilaian kami dan kami menggalakkan semua pihak terlibat memberikan pandangan bertulis terhadap permohonan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Orang ramai yang berminat untuk menyertai rundingan awam tersebut boleh berbuat demikian menerusi laman web rasmi MyCC di www.mycc.gov.my atau menghantar maklum balas melalui emel kepada secretariat [email protected].

Difahamkan, pengecualian blok ini hanya terpakai kepada perkhidmatan pelayaran laut oleh pengendali kapal dan tidak termasuk pengangkutan darat seperti perkhidmatan logistik, depot, lori, kereta api atau gudang, sama ada entiti tersebut bergabung dengan pengendali kapal atau tidak.

Maklumat lanjut dan pautan penyertaan rundingan awam boleh diakses melalui laman rasmi MyCC bermula hari ini.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas