Berita

MyCARE lancar tabung bencana banjir, sasar sumbangan RM500,000

|
- Diterbit 6 Januari 2021 10:23 AM MYT

HUMANITARIAN Care Malaysia (MyCARE) melancarkan Tabung Bencana Banjir MyCARE susulan tragedi banjir yang melanda enam negeri ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata tabung itu bertujuan mengumpul sumbangan untuk disalurkan ke negeri yang terjejas iaitu Johor, Pahang, Terengganu, Selangor, Kelantan dan Perak, sebagai persediaan menjalankan aktiviti khidmat bantuan peringkat komuniti bagi membantu mangsa banjir.

“Bantuan berbentuk pek kebersihan dan makanan akan disampaikan oleh wakil sukarelawan MyCARE di setiap negeri terjejas dengan kerjasama pegawai di pusat pemindahan yang ditetapkan.

“Kita menyasarkan sumbangan RM500,000 daripada orang awam dan syarikat korporat yang bermurah hati untuk membantu. Sumbangan boleh disalurkan ke akaun CIMB 8602135592 atau http://mycare.qrd.by/banjir,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kamarul memaklumkan pihaknya sehingga kini telah menyalurkan 200 pek makanan dan pek kebersihan kepada 200 keluarga terjejas di Johor melibatkan kawasan Senai, Skudai, Kota Tinggi dan Bandar Tenggara.

Orang ramai boleh menghubungi talian 016-6366369 atau melayari akaun Facebook MyCARE untuk keterangan lanjut. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas