Selebriti

Muncul dengan produk Yugi Fresh… Ayu Damit sebak!

Yugi Fresh yang semakin laris di pasaran.
- Diterbit 30 Mac 2022 12:00 AM MYT

PENYANYI Ayu Damit,33, tidak dapat mengawal sebak apabila produk tani miliknya Yugi Fresh dilancarkan baru-baru ini.

Apalagi inisiatif itu mendapat usahasama daripada badan korporat Jabatan Pertanian Negeri Selangor, Prasarana Malaysia, dan Jamu Mak Dara.

“Ramai tak tahu turun naik kehidupan saya terutama sewaktu menyepi dalam dunia hiburan. Perniagaan saya banyak membantu namun bergelut semula sewaktu pandemik COVID-19 melanda.

“Itulah yang membuatkan hati saya sebak kerana akhirnya jalan rezeki semakin terbuka. Tapi saya ingin tegaskan, saya tak guna ‘kabel’ sebagai artis untuk usahasama ini,” katanya.

AYU Damit melancarkan produk taninya, Yugi Fresh yang semakin laris di pasaran.

Dalam masa yang sama, Ayu mengaku tidak terfikir mahu menggunakan gimik murahan demi mempromosi produknya.

“Kalau ikutkan, memang ada menyarankan saya untuk buat gimik macam-macam contohnya bergaduh. Tapi saya memang tak reti dan kurang berkenan,” katanya.

Terdahulu Ayu ditemui pada majlis pelancaran projek tani terbarunya Yugi Fresh di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Putra Heights, baru-baru ini.

Projek Yugi Fresh itu bakal dijalankan setiap hujung minggu di LRT terpilih. Lebih 20 pengusaha industri kecil sederhana (IKS) akan berniaga selain terdapat jualan tanaman segar. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas