Berita

MTEN kemuka tiga cadangan untuk menoktahkan miskin tegar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bilangan 6 Tahun 2023. Kredit foto: Facebook Anwar Ibrahim
- Diterbit 10 November 2023 12:05 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY

KERAJAAN Persekutuan telah ­bersetuju dengan tiga ­cadangan yang dikemukakan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dalam ­usaha untuk menoktahkan miskin tegar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata banyak ­usaha dan program-program yang telah dilaksanakan kerajaan dalam usaha membasmi miskin tegar.

“Antara program yang ­dilaksanakan adalah ­bantuan tunai bulanan, naik taraf ­kediaman, ­pemberian modal ­perniagaan, ­latihan kemahiran dan penjanaan pendapatan.

“Usaha-usaha ini ­telah pun ­dilaksanakan oleh pelbagai ­kementerian dan agensi dalam usaha menarik keluar rakyat dari belenggu miskin tegar,” katanya.

Beliau berkata demikian ­selepas mempengerusikan Mesyuarat MTEN Bilangan 6 Tahun 2023 di Bangunan Parlimen pada Selasa.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; dan Ketua Badan Penasihat Khas Menteri Kewangan, Tan Sri Mohd Hassan Marican.

Menurut Anwar, ­menerusi ­cadangan yang dikemukakan di ­dalam mesyuarat tersebut, ­kerajaan ­melalui semua ­kementerian dan ­agensi akan menyemak dan ­mengemas kini data untuk ­mengesahkan ­jumlah ­penerima isi rumah miskin tegar yang telah ­dibantu dan ­menjana ­pendapatan atau Paras Garis Kemiskinan (PGK) makanan dalam tahun 2023.

“Selain itu, semua agensi perlu mengenal pasti isi rumah yang boleh menyertai program dalam tempoh berbaki tiga bulan dan diserapkan di dalam program-program yang ­ditawarkan mengikut kesesuaian.

“Bantuan tunai khas secara ­bulan akan dipertimbangkan ­untuk ­melepasi PGK makanan bagi isi ­rumah yang tidak ­berkemampuan menyertai aktiviti menjana ­pendapatan atas faktor umur dan ­kesihatan,” ujarnya.

Perdana Menteri berkata prestasi ringgit dan mata wang serantau lain terus didorong oleh faktor luaran, terutamanya jangkaan bahawa kadar faedah Amerika Syarikat akan kekal tinggi untuk tempoh yang lebih lama dan faktor geopolitik.

Jelas beliau, perkembangan mata wang ringgit itu dijangka tidak akan menjejaskan prospek pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata usaha ­kerajaan terhadap pembaharuan ­struktur, ­termasuk inisiatif ­menerusi Pelan Induk Perindustrian Baru (NIMP) 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) akan ­memperkukuhkan daya saing Malaysia.

“Ini akan meningkatkan daya ­tarikan negara terhadap ­pelabur asing, seterusnya membantu ­pengukuhan nilai ringgit secara ­lebih mampan. Bank Negara Malaysia komited dalam usaha ­membendung perubahan yang berlebihan ­bagi memastikan pasaran pertukaran ringgit kekal teratur,” katanya.

Perdana Menteri turut ­berkata bahawa pelaksanaan projek ­pembangunan yang bermasalah dan mengalami kelewatan pelaksanaan telah menyebabkan peningkatan kos dan memberi kesan negatif terhadap pertumbuhan ekonomi.

“Turut didapati ­penentuan ­spesifikasi dan penilaian ­kos ­projek-projek Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) sukar ­dilakukan dengan ­berkesan dan ­proses semakan kos adalah sukar tanpa ­satu piawai ­anggaran kos. Ini boleh menyebabkan ­pertindihan ­kerja yang berulang dan kenaikan kos projek ICT,” katanya lagi.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas