Berita

MPPWPKL BTR SubZon 6 tinjau jalan raya berbahaya

- Diterbit 9 Disember 2024 2:29 PM MYT

BERIKUTAN satu kemalangan maut yang berlaku di Taman Malaysia Raya berhampiran persimpangan lorong susur keluar ke Lebuhraya Grand Saga, Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MPPWPKL) Sub Zon 6 Parlimen Bandar Tun Razak tampil menjalankan pemantauan di kawasan sekitar.

Menurut Ahli Jawatankuasanya, Mohd Fyrdous Hamdan, tindakan itu diambil bagi melihat sendiri persimpangan berkenaan selain mendapatkan maklumat tambahan sebelum aduan rasmi kepada pihak berkuasa.

“Untuk makluman, satu kemalangan membabitkan seorang penunggang motosikal dengan sebuah kereta telah berlaku di persimpangan menyebabkan penunggang tersebut cedera parah dan dirawat di hospital sebelum meninggal dunia beberapa hari kemudian.

“Rentetan daripada keadaan tersebut, MPPWPKL Sub Zon 6 mengambil inisiatif untuk menjalankan pemerhatian dan pemantauan di kawasan bagi mendapatkan gambaran jelas sebelum memanjangkan aduan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pihak berkuasa yang berkaitan.

“Operasi tersebut disertai AJK MPPWPKL yang bermula selepas mesyuarat bulanan pada pukul 12 tengah malam dan berakhir pada pukul 3 pagi,” katanya ketika dihubungi Wilayahku.

Jelas beliau, inisiatif tersebut diambil berikutan pihaknya menerima aduan daripada penduduk yang khuatir dengan keadaan tersebut.

“Seperti yang dapat kita lihat, jalan tersebut agak merbahaya kepada penduduk dan kami mendapati pihak berkuasa perlu meningkatkan lagi ciri-ciri keselamatan bagi melindungi penduduk dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Beliau berkata pihaknya akan terus menjalankan pemantauan di kawasan lain dan bersedia menjadi penghubung di antara pihak penduduk dengan DBKL serta agensi lain. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas