Fitnah vs Fakta

MPF, PFA tingkat biosekuriti ladang

MOHAMAD Sabu menjawab mengenai isu biosekuriti ladang bagi mengurangkan risiko penularan penyakit.
- Diterbit 23 Mei 2025 11:05 PM MYT

KECAMAN demi kecaman dilemparkan kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Terbaru, beliau dituduh lebih sibuk dan cakna dalam usaha mengimport daging babi berbanding isu penarikan semula subsidi telur.

Ramai warganet mendakwa, keperluan daging babi untuk kaum Cina lebih diutamakan kerajaan seolah-olah menjadi isu negara manakala isu subsidi telur mahu ditarik balik, tidak diberi keutamaan sedangkan semua kaum terkesan.

Sebenarnya, Mohamad sangat prihatin dan telah memikirkan yang terbaik untuk semua rakyat dalam masa yang sama berusaha memenuhi semua kehendak rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Menurut Mohamad kerajaan memandang serius isu kekurangan bekalan daging babi yang dibangkitkan industri kerana selain memberi tekanan kepada pengguna, ASF (penyakit demam babi Afrika) turut menyebabkan kerugian besar kepada penternak serta melonjakkan harga daging segar di pasaran.

Untuk itu, pihak kementeriannya akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mengkaji cadangan daripada Gabungan Persatuan Pedagang Daging Babi, untuk mengawal harga daging babi, selaras peruntukan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).

Bagi pelan jangka panjang dalam menangani isu ASF, kerajaan menggesa pemain industri mentransformasi ladang kepada sistem Modern Pig Farming (MPF) yang lebih selamat dan bebas penyakit.

Dalam hal ini, beliau berkata kementerian mengalu-alukan sokongan kerajaan negeri seperti Pulau Pinang, Perak dan Sabah dalam pelaksanaan MPF, termasuk usaha pengezonan Pig Farming Area (PFA) oleh Sarawak dan Negeri Sembilan.

Beliau berkata pelaksanaan MPF dan PFA akan meningkatkan tahap biosekuriti ladang, sekali gus mengurangkan risiko penularan penyakit.

Katanya memandangkan pelaburan MPF memerlukan kos tinggi, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bersedia memudah cara proses transformasi bersama pihak berkepentingan menerusi sesi libat urus dalam masa terdekat.

Terdahulu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) akan meneliti cadangan Gabungan Persatuan Pedagang Daging Babi untuk mengimport daging babi dari Thailand, China dan Brazil bagi menangani kekurangan bekalan dalam negara.

Mohamad berkata cadangan itu dikemukakan dalam mesyuarat yang dipengerusikan Timbalan Menteri, Datuk Arthur Joseph Kurup, susulan penutupan beberapa ladang di Selangor ekoran penularan penyakit demam babi Afrika (ASF).

“Setakat ini, Malaysia masih boleh mengimport daging babi dari negara Eropah, Australia, Amerika Syarikat, Kanada dan United Kingdom.

“Pengimport disarankan mengambil tindakan segera mendapatkan bekalan dari negara-negara tersebut terlebih dahulu,” katanya. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas