Berita

MOTAC seru mangsa penipuan usahawan pelancongan buat laporan

- Diterbit 19 Disember 2024 1:53 PM MYT

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menasihatkan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa dalam kes penipuan pempengaruh dan usahawan agensi pelancongan yang beroperasi di Korea Selatan untuk tampil membuat laporan polis serta aduan rasmi kepada pihak MOTAC melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), MOTAC di pautan https://motac.spab.gov.my untuk membantu siasatan.

MOTAC dalam kenyataan memberitahu, demi memastikan hak pembeli terpelihara dan mengelakkan kes penipuan, MOTAC akan terus memantau perkara ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482].

“Mana-mana orang yang menjalankan atau menganjurkan dirinya sebagai menjalankan atau mengendalikan perniagaan pengendalian pelancong atau perniagaan agensi pengembaraan tanpa lesen yang sah di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482] melakukan kesalahan dan boleh apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM500,000.00 atau dipenjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa peka terhadap pemakluman rasmi daripada Kementerian dan membuat pengesahan terlebih dahulu terhadap apa-apa pakej yang ditawarkan oleh mana-mana agensi perniagaan pengendalian pelancong atau perniagaan agensi pengembaraan,” katanya.

Tambahnya orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa peka terhadap pemakluman rasmi daripada kementerian dan membuat pengesahan terlebih dahulu terhadap apa-apa pakej yang ditawarkan oleh mana-mana agensi perniagaan pengendalian pelancong atau perniagaan agensi pengembaraan.

MOTAC turut menyarankan masyarakat untuk membeli pakej pelancongan daripada agensi perniagaan pengendalian pelancong atau perniagaan agensi pengembaraan yang berlesen dengan MOTAC bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku. Senarai agensi yang berlesen terkini boleh diperoleh daripada laman rasmi MOTAC https://www.motac.gov.my/semakan/tobtab. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas