KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memutuskan untuk membatalkan lesen sebuah syarikat pengendali umrah yang telah berkuat kuasa sejak 24 Januari 2025.
Pesuruhjaya kementerian itu, Datuk Roslan Abdul Rahman berkata, syarikat tersebut adalah syarikat Al Quds Umrah & Tours (M) Sdn Bhd dengan nombor lesen 3017.
“Penggantungan tersebut selaras dengan Seksyen 8 Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482].
“Kementerian ini memandang serius sebarang pelanggaran peruntukan undang-undang oleh pengusahaan pelancongan berlesen demi menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat Malaysia MADANI,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Untuk rekod, lesen syarikat pengendali pakej umrah itu digantung dari 9 Julai 2024 hingga 19 Januari tahun ini.
Pada Oktober tahun lalu, Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Sabah mengekalkan tuntutan syarikat untuk pampasan RM10,000 terhadap dua individu.
Presiden TTPM Sabah Larina Wong Shiao Yee membuat keputusan itu selepas mendengar kes difailkan Kasmah Arifin, 55, dan Muliana Samin, 44, terhadap Al Quds Umrah & Tours (M) Sdn Bhd.
Mengikut pertuduhan yang difailkan, syarikat itu didakwa gagal membawa plaintif menunaikan ibadah umrah dan haji pada tarikh ditetapkan walaupun jumlah bayaran pakej yang ditawarkan masing-masing berjumlah RM6,000 dan RM4,000 telah dijelaskan sepenuhnya oleh kedua-dua plaintif. – WILAYAHKU