Berita

MOTAC atur satu mesyuarat khas tangani isu check-in, check-out

- Diterbit 27 September 2024 3:08 PM MYT

KEMENTERIAN Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) akan mengatur satu mesyuarat khas bersama semua pihak khususnya para pengusaha industri perhotelan untuk membincangkan isu waktu daftar masuk dan daftar keluar hotel.

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata mesyuarat tersebut adalah bagi membincangkan isu tersebut secara menyeluruh dan memastikan satu penyelesaian yang adil serta tidak mebebankan pelanggan dapat dicapai.

“Saya mengambil maklum berkenaan isu yang sedang tular di media sosial dan media massa berhubung waktu daftar masuk (check-in) dan daftar keluar (check-out) industri perhotelan di Malaysia.

“Isu ini telah menarik perhatian dan saya memahami kebimbangan yang disuarakan oleh orang ramai serta pihak-pihak berkepentingan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambah beliau, adalah menjadi keutamannya untuk memastikan bahawa amalan dan polisi yang dilaksanakan oleh pihak hotel adalah selaras dengan kepentingan pengguna, sambil memastikan kelangsungan industri perhotelan yang berdaya saing dan mampan.

“Saya ingin memberi jaminan bahawa MOTAC akan mengambil tindakan segera dan berkesan dalam menangani isu ini.

“Pandangan serta cadangan daripada semua pihak berkepentingan akan diambil kira dalam proses membuat keputusan, demi memastikan industri perhotelan di Malaysia terus kekal kompetitif dan mesra pelanggan,” ujarnya.

Beliau yang kini mewakili negara di persidangan United Nations World Tourism Organization (UNWTO) akan segera kembali ke Malaysia untuk menangani isu tersebut dengan sewajarnya.

“Terima kasih atas keprihatinan dan kerjasama semua pihak dalam mencari jalan penyelesaian terbaik bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan sektor pelancongan negara,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas