KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah syarikat pengendali umrah bagi tujuan siasatan berikutan laporan yang tersebar di media sosial berkenaan pembatalan penerbangan oleh premisnya yang melibatkan lebih 300 orang jemaah umrah pada 14 Januari lalu.
Setakat ini, MOTAC telah menerima lapan aduan dengan jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM180,116 terhadap syarikat pengendali umrah yang berkenaan.
“Hasil siasatan awal mendapati syarikat pengendali umrah yang berkenaan telah melakukan pelanggaran terhadap Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) dan MOTAC telah mengambil tindakan segera dengan menggantung lesen syarikat tersebut.
“Dalam tempoh penggantungan lesen ini, syarikat telah dinasihatkan untuk menyelesaikan semua perjalanan yang telah ditempah atau dibayar dan tidak membuat sebarang urus niaga baharu termasuk tidak membuat pengiklanan jualan pakej dan serta-merta memulangkan semula bayaran serta apa-apa dokumen milik jemaah umrah yang telah diambil daripada jemaah yang memilih untuk membatalkan tempahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Akta 482 berhubung perubahan material dalam pakej umrah yang ditawarkan.
“Rekod terdahulu menunjukkan bahawa syarikat telah dikompaun sebanyak dua kali.
“MOTAC komited untuk melindungi kepentingan rakyat dan memastikan industri pelancongan yang berlesen terus beroperasi dengan integriti.
“Agensi pelancongan diingatkan untuk menjalankan perniagaan dengan penuh tanggungjawab dan mematuhi semua peraturan yang ditetapkan,” katanya.
Dalam masa sama, MOTAC menegaskan pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada mereka yang melanggar peraturan dan menyebabkan kerugian kepada pelanggan.
Sekiranya orang awam mempunyai sebarang aduan atau maklumat berkaitan penipuan oleh agensi pelancongan, boleh laporkan kepada MOTAC melalui saluran Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di laman sesawang https://motac.spab.gov.my/ dan e-mel [email protected]/group. – WILAYAHKU