Berita

MOT gantung 247 lesen pengendali tahun lalu

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 26 Februari 2025 12:58 PM MYT

KEMENTERIAN Pengangkutan (MOT) telah menggantung sejumlah 247 lesen penggendali pada 2024, berbanding 101 pada 2023.

MOT melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) juga telah menggantung 23 permit kenderaan pada tahun 2024 atas ketidakpatuhan keselamatan jalan raya

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata MOT melalui APAD juga telah membatalkan tujuh lesen
pengendali antara 2022 dan 2024 berbanding tiada pembatalan antara 2019 dan 2021.

Menurut Loke, apabila lesen pengendali sesebuah syarikat digantung atau dibatalkan, semua kenderaan yang berdaftar di bawah syarikat tersebut tidak boleh beroperasi.

“Antara syarikat yang lesen pengendalinya telah
digantung termasuk sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia dan mempunyai lebih daripada 1,000 kenderaan.

“Syarikat tersebut terpaksa membuat pengumuman di Bursa Malaysia berkenaan tindakan penggantungan
oleh APAD kerana terdapat implikasi serius ke atas operasinya,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanya
Mohd Azizi Abu Naim, mengenai selain pemantauan terhadap PUSPAKOM, apakah mekanisme lain yang dirancang bagi mengurangkan kemalangan kenderaan berat yang semakin meningkat dan bagi menjamin hak pengguna jalan raya yang lain.

Ujar Loke lagi, MOT juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan walaupun ke atas syarikat besar apabila berlakunya ketidakpatuhan yang boleh menjejaskan keselamatan di jalan raya.

“MOT akan meneruskan tindakan tegas ini di samping menambah baik inisiatif keselamatan jalan raya lain.

“Ini termasuk tindakan penguatkuasaan ke atas kenderaan berat yang melebihi muatan, memperketat prosedur pemeriksaan berkala dan menambah baik
pematuhan ICOP di kalangan pemain industri,” katanya lagi.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas