Berita

Mohd Sukuran Taib dilantik KPE Perbadan Labuan yang baharu

- Diterbit 16 November 2024 6:11 AM MYT

MOHD Sukuran Taib telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan yang baharu, berkuat kuasa mulai 15 November 2024, selaras dengan Subseksyen 10(1), Akta Perbadanan Labuan 2011 (Akta 609).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata Mohd Sukuran, memiliki pengalaman luas dalam bidang perancangan bandar selama 29 tahun.

“Sepanjang perkhidmatan, beliau memainkan peranan penting dalam merangka dan melaksanakan dasar-dasar pembangunan fizikal negara, khususnya melalui jawatan terakhir beliau sebagai Pengarah Bahagian Rancangan Fizikal Negara di Jabatan Perancangan Bandar dan Desa
(PLANMalaysia),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zaliha berkata pengalaman dan kepakaran Mohd Sukaran akan memastikan kesinambungan pembangunan yang mampan serta memacubkecemerlangan Wilayah Persekutuan Labuan, seiring dengan pembangunan di Kuala Lumpur dan Putrajaya, berlandaskan Rancangan Struktur Labuan 2040.

“Dengan pelantikan ini, saya yakin beliau mampu menerajui Perbadanan Labuan dengan penuh integriti dan dedikasi,” katanya.

Mohd Sukuran, 52, berkelulusan Ijazah Sarjana Perancangan Perumahan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Wilayah dari Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Sementara itu, Zaliha mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih diucapkan kepada Rithuan Ismail atas kepimpinan dan sumbangan beliau sepanjang menjawat jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PL – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas