Berita

Mohd Rashid sahkan dirinya dalam video tular di kebun durian

AHLI Parlimen Batu Pahat Datuk Mohd Rashid Hasnon menjelaskan kehadirannya di situ adalah semata-mata untuk mendengar permasalahan pekebun durian kampung, yang diusahakan penduduk setempat.
- Diterbit 30 Jun 2021 9:27 AM MYT

AHLI Parlimen Batu Pahat Datuk Mohd Rashid Hasnon hari ini mengesahkan, individu yang berada di sebuah kebun durian didakwa di daerah itu seperti dipaparkan dalam video tular, adalah dirinya.

Mohd Rashid dalam kenyataan hari ini bagaimanapun menjelaskan, kehadirannya di situ adalah semata-mata untuk mendengar permasalahan pekebun durian kampung, yang diusahakan penduduk setempat.

Beliau yang juga Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat itu, turut memohon maaf di atas kekeliruan yang timbul, apabila terdapat media yang menghubunginya sebelum ini bagi bertanyakan mengenai videonya di kebun, dan telah menjawab soalan tersebut tanpa menonton sendiri video pada awalnya.

“Untuk makluman, sememangnya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama sehingga kini, saya sering menerima aduan daripada pekebun kecil termasuk pengusaha sayur dan buah-buahan, yang mengalami kesukaran menjual hasil tanaman mereka berikutan jualan yang merosot.

“Setelah meneliti, salah satu video yang tular semalam, ia merupakan lawatan saya ke kebun durian kampung, yang diusahakan masyarakat setempat yang mana turut terkesan berikutan PKP ini,” katanya dalam satu kenyataan itu.

Katanya, hanya selepas selesai mengadap Yang Di-Pertuan Agong semalam, barulah beliau mempunyai kesempatan menonton dan menganalisa video yang dikaitkan dengan dirinya itu.

Jelas Mohd Rashid, ketika itu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Zuraida Kamaruddin, kebetulan membuat lawatan ke Batu Pahat, justeru beliau menghadiahkan durian kepada rombongan Zuraida untuk dibawa pulang.

Mohd Rashid yang berjanji memberikan kerjasama terhadap siasatan polis mengenai perkara itu berkata, selepas rombongan Zuraida pulang, beliau dibawa ke kebun oleh salah seorang pengusaha pada sebelah petang, bagi mendengar permasalahan yang dihadapi dan berbincang lanjut.

“Setiba saya di kebun, pengusaha kebun durian tersebut menghidangkannya kepada kami. Saya menjamah sedikit durian sambil berbincang dengan pengusaha kebun, mengenai langkah-langkah bantuan yang boleh dihulurkan,” katanya dan menambah selepas perbincangan tamat, beliau terus meninggalkan program awal, kerana perlu pulang ke Kuala Lumpur.

Sementara itu, satu lagi laporan polis dibuat oleh seorang wakil rakyat berhubung video itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) di sini hari ini, dan Ketua Polis Daerah JBS ACP Mohd Padzli Mohd Zain ketika dihubungi, mengesahkan laporan polis berkenaan.

Baru-baru ni, satu video tular berdurasi 13 saat, menunjukkan sekumpulan individu termasuk Mohd Rashid di sebuah kebun durian. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas