KEMENTERIAN Pertahanan melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan meneruskan penglibatan dalam misi pengaman di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL) seperti yang dirancang.
Menurutnya, memandangkan misi ini adalah di bawah UNIFIL, maka sebarang ketetapan dan keputusan mestilah berpandukan kelulusan dan keputusan pihak UNIFIL.
“Pihak UNIFIL telah menggariskan beberapa prosedur dan garis panduan atau force protection measures yang terpakai dalam situasi terancam yang turut digunakan oleh MALBATT.
“Garis panduan ini, apabila diaktifkan, akan memerlukan pasukan yang terlibat untuk mengambil tindakan seperti, meningkatkan persiapan, mengenakan full protection gears, dan perkara-perkara seperti no logistic movements and patrols dan setiap pasukan dan anggota akan ditempatkan di dalam designated bunkers,” katanya.
Kementerian itu berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Tan Sri Anifah Aman mengenai status warga ATM yang cedera susulan serangan Israel di Lubnan, dan adakah pihak ATM akan terus menghantar pegawai dan anggotanya untuk menyertai misi pengaman UNIFIL.
Menurut Kementerian, Malaysia telah menyertai misi pengaman di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL) bermula pada tahun 2007 dengan mandat di bawah Majlis Keselamatan PBB Resolusi 425 (1978) dan 426 (1978).
“Tanggungjawab utama pasukan MALBATT 850-11 kita adalah memantau dan memastikan pengunduran Israel DefenceForce (IDF) dari Selatan Lubnan; mengembalikan keamanan dan keselamatan antarabangsa;dan membantu Kerajaan Lubnan memerintah secara efektif di Selatan Lubnan,” katanya.
Katanya, berdasarkan laporan yang diterima, enam orang anggota MALBATT telah mengalami kecederaan ringan akibat serpihan serangan dron tentera Israel di Sidon, selatan Lubnan yang mensasarkan kenderaan / kumpulan orang awam di sana.
“Memandangkan insiden ini berlaku semasa pasukan ini dalam perjalanan menuju ke lokasi penempatan operasi, serpihan serangan tersebut telah terkena dan mencederakan pasukan MALBATT.
“Anggota yang cedera telah menerima rawatan segera daripada pasukan perubatan tempatan dan kini berada dalam keadaan stabil di Kem Marakah,” katanya.
Tambahnya, Kementerian Pertahanan akan terus memantau situasi di Selatan Lubnan dan akan mengemaskini sebarang perkembangan melibatkan pasukan MALBATT. – WILAYAHKU