Atlet Wilayah

Misi hatrik bola jaring WP makin hampir berjaya

- Diterbit 22 Ogos 2024 5:01 PM MYT

MISI pasukan bola jaring Wilayah Persekutuan untuk mempertahankan gelaran juara serta mencipta hatrik di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 semakin menjadi kenyataan apabila pasukan tersebut berjaya menempah tiket ke pusingan akhir.

Pasukan Wilayah Persekutuan yang juga merupakan juara bertahan itu kekal mendominasi acara bola jaring apabila muncul sebagai juara kumpulan dengan empat kemenangan dicatatkan tanpa sebarang kekalahan.

Prestasi cemerlang itu kekal konsisten di pentas separuh akhir yang berlangsung pada hari ini apabila pasukan Wilayah Persekutuan berjaya menundukkan pasukan Terengganu dengan keputusan 71-48.

Wilayah Persekutuan bakal bersemuka dengan pasukan Kedah dalam perlawanan penentuan pingat emas yang akan diadakan di Dewan Politeknik Mukah, esok seawal pukul 8.30 pagi.

Kedah berjaya mencatatkan kemenangan 44-40 ke atas pasukan Johor di perlawanan separuh akhir sebentar tadi.

Terdahulu, pasukan bola jaring Wilayah Persekutuan mendominasi peringkat kumpulan dengan menewaskan pasukan Perak (76-22), Kelantan (55-23), Sabah (66-34) dan Johor (45-31).

Untuk rekod, skuad Wilayah Persekutuan pernah meraih emas SUKMA pada 2000, 2004 dan 2006, sebelum meneruskan dominasi sebagai juara pada 2010, 2011, 2013, 2018 serta edisi 2022. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas