Berita

Minta, terima rasuah daripada pendakwah selebriti: Tiga termasuk aktivis politik direman

ANTARA suspek yang direman SPRM selepas disyaki meminta dan menerima rasuah daripada seorang pendakwah selebriti.
- Diterbit 6 November 2024 12:09 PM MYT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman tiga individu termasuk seorang aktivis politik kerana disyaki meminta dan menerima rasuah daripada seorang pendakwah selebriti.

Menurut sumber, ia kononnya bagi membantu menyelesaikan kes pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan pendakwah itu yang sedang dalam siasatan polis.

Perintah reman selama empat hari sehingga 9 November ini dikeluarkan Majistret Siti Nor Hasliza Md Ali terhadap ketiga-tiga suspek selepas SPRM membuat permohonan tersebut di Mahkamah Majistret Alor Setar pagi tadi.

Menurut sumber, kesemua suspek lelaki yang berusia antara 30 hingga 50-an telah ditahan antara pukul 12 tengah hari hingga 5 petang semalam dalam satu operasi yang dijalankan di sekitar Bedong dan di Pejabat SPRM Kedah.

“Siasatan awal dipercayai kesemua suspek bersubahat meminta wang sebanyak RM150,000 tetapi mereka hanya menerima RM20,000 tunai daripada pendakwah tersebut,” katanya.

Sementara itu Pengarah SPRM Kedah, Ahmad Nizam Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas