Berita

Miliki telefon curi: Jurujual wanita menangis dipenjara 18 bulan

- Diterbit 6 Januari 2021 7:13 AM MYT

SEORANG jurujual wanita menangis selepas Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan kerana memiliki sebuah telefon bimbit curi.

Hakim Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman itu ke atas Nur Azidah Maulad Zakaria, 33, selepas dia mengaku bersalah memiliki telefon bimbit milik Muhammad Alif Nisam, 24, bernilai RM450 yang tertuduh mengetahui bahawa telefon itu diperoleh melalui rompakan berkumpulan.

Izralizam memerintahkan Nur Azidah menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 30 Dis tahun lepas dan sebelum menjatuhkan hukuman, beliau turut menasihati tertuduh supaya insaf dan tidak mengulangi kesilapan sama.

“Mengambil kira kepentingan kamu dan orang awam, saya akan beri hukuman yang wajar supaya memberi pengajaran kepada orang di luar sana… Selepas ini lebih berhati-hati,” katanya.

Wanita itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah rumah di PPR Gombak Setia, di sini pada 2 pagi, 30 Dis mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan hendaklah dikenakan denda.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dengan nada sebak merayu hukuman ringan dengan alasan dia anak yatim piatu manakala Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Azahan memohon hukuman setimpal dan turut memaklumkan bahawa  tertuduh tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Mengikut fakta kes, pada 12 Dis tahun lepas, semasa pengadu (Muhammad Alif) sedang berkerja di sebuah kedai serbaneka, dua lelaki menggunakan parang telah merompak barang-barang di dalam premis tersebut termasuk telefon bimbitnya dan pada 30 Dis 2020 telefon itu dijumpai berada di tangan tertuduh. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas