MESYUARAT Kabinet hari ini telah meluluskan draf Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata RUU itu juga akan dibentang pada minggu depan di Dewan Rakyat dan tidak menolak mungkin akan dibahaskan.
“Sekiranya ada masa akan dibahas dan dibuat bacaan kedua dalam mesyuarat kali ini. Jika tidak ia telah disenaraikan untuk dibahas dalam mesyuarat Dewan Rakyat akan datang,” katanya pada sidang media pasca Mesyuarat Kabinet di Kementerian Komunikasi.
Mengulas lanjut, Fahmi berharap keputusan itu akan menjadi berita baik kepada media.
“Diharap ini menjadi berita baik untuk rakan-rakan media,” katanya.
Penubuhan Majlis Media Malaysia adalah bagi membangun dan melaksanakan kod etika pelaporan yang dapat memperkasakan profesion kewartawanan serta memastikan pelaporan berita dilakukan oleh media secara bertanggungjawab.
Ia turut berfungsi menggalakkan komunikasi antara pengamal media, kerajaan, dan orang awam selain menyokong pembangunan profesional wartawan serta organisasi media. – WILAYAHKU