Mesin penapis air antara punca bil elektrik tinggi-TNB

Mesin penapis air antara punca bil elektrik tinggi-TNB

MESIN penapis air yang mempunyai fungsi pemanas dan penyejuk dikenal pasti menjadi antara punca peningkatan bil elektrik terutamanya ketika cuaca panas yang sedang melanda negara.

Ketua Retail Tenaga Nasional Berhad (TNB) Selangor Ismail Lathifi Teh berkata peralatan elektrik yang mempunyai fungsi sedemikian seperti peti sejuk dan alat penyaman udara dan kini penapis air minuman menggunakan tenaga elektrik yang banyak untuk mengekalkan suhu berkenaan terutamanya ketika cuaca panas.

“Pada cuaca panas seperti sekarang ini, mesin yang mempunyai kompresor akan menggunakan tenaga yang lebih banyak untuk mengekalkan suhu.

“Jadi lebih kerap kita membuka pintu peti sejuk dan lebih kerap kita mengambil air sejuk daripada penapis air di rumah, lagi banyak tenaga elektrik yang akan digunakan oleh peralatan berkenaan bagi mengekalkan suhu sejuk,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata contohnya, jika tangki penapis minuman yang menyimpan air sejuk habis ia akan diisi dengan air yang baharu dan kompresor akan berfungsi untuk menyejukkan air berkenaan.

Ismail Lathifi berkata jika lebih banyak isian semula berlaku, lebih kerap kompresor berkenaan berfungsi dan ini akan menyebabkan peningkatan penggunaan elektrik.

Dalam pada itu, Ismail Lathifi turut menasihati pengguna agar menetapkan pemasa pada alat penyaman udara masing-masing selain menetapkan suhu antara 24 hingga 26 darjah Celcius sahaja bagi menjimatkan penggunaan elektrik.

“Pengguna digalakkan menggunakan pemasa yang ada pada penyaman udara masing-masing dan menetapkan agar ia ditutup pada awal pagi kira-kira pukul 2 pagi dan ke atas kerana ketika itu cuaca mulai sejuk dan memasang kipas untuk mengekalkan suhu sejuk di dalam rumah,” katanya.

Ismail Lathifi turut menyarankan kepada pengguna agar melakukan servis terhadap penyaman udara secara berkala agar ia dapat berfungsi dengan lebih efisien dan jimat.

“Saya dapat aduan yang mengatakan mereka (pengguna) tidak menggunakan penyaman udara tetapi kenapa bil elektrik melambung, mereka lupa bahawa barang elektrik lain juga menggunakan elektrik,” katanya lagi. – BERNAMA

 

CATEGORIES