PENGARAH video muzik Malampagi, Nadhir Nasar menjelaskan dirinya mahu menyampaikan mesej positif menerusi lagu tersebut.

Ini lanjutan tular dalam media sosial yang mendakwa video arahannya itu lebih ke arah maksiat.
Nadhir berkata apa yang ingin disampaikan dalam video muzik nyanyian Saixse itu jelas dan bukan untuk mencari glamor.
“Saya seorang yang berpegang pada prinsip. Saya berada dalam industri untuk sampaikan mesej positif bukan nak kejar glamor atau meraih pengikut yang ramai di media sosial.
“Mungkin akan ada yang beranggapan video muzik itu keterlaluan tapi itulah realiti sebenar. Saya percaya masyarakat akan faham,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan dan sidang media Super Wira yang berlangsung di Bukit Jalil, baru-baru ini.
Menurut Nadhir, sekiranya video muzik lagu itu diharamkan tayangannya, dia tidak mampu berbuat apa-apa kerana di luar bidang tugasnya.
“Setiap orang ada cita rasa masing-masing. Lagipun mesej yang saya sampaikan jelas. Di penghujung kita tetap kembali kepada Tuhan. Saya juga sudah menjangka akan timbul isu tapi sebagai pengarah saya hanya paparkan realiti. Tapi tak bermakna saya seorang pengarah provokatif,” luahnya.
Terdahulu, seorang pengguna media sosial mendakwa lirik dan video muzik Malampagi berunsur lucah dan memberi pengaruh tidak baik terutama kepada generasi muda.