BUAT julung kalinya, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) menawarkan tiket ke Konsert Gendang Pati Datuk M Nasir yang akan berlangsung pada 18 November di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), Kuala Lumpur.
Menurut Eksekutif Kanan Jabatan Komunikasi Strategik dan IT YWP, Zaleha Dullah, mana-mana pihak, syarikat mahupun badan bukan kerajaan (NGO) yang menyumbang sebanyak RM10,000 dan ke atas ke Tabung Kebajikan dan Pelajaran YWP akan berpeluang mendapatkan tiket tersebut.
“Mereka akan diberi tiket konsert selain resit pelepasan cukai, promosi jenama di dalam media sosial YWP, media sosial akhbar Wilayahku (anak Syarikat YWP) selain cenderamata dan sijil penghargaan.
“Lebih menarik, penyumbang juga akan dijemput untuk menghadiri sesi penyampaian sumbangan YWP serta berpeluang bertemu M Nasir dalam sesi meet and greet pada konsert tersebut,” katanya kepada Wilayahku.
Tambahnya, tawaran tiket ini dibuka pada 3 sehingga 25 Oktober ini.
“Kepada sesiapa yang berminat, boleh hubungi Penolong Pengurus Operasi dan Pemasaran YWP Media, Sabrina Nordin di talian 019- 375 2308 atau Zaleha (019-881 8780).
“Jika mereka bersetuju untuk menjadi penyumbang, mereka akan diberi surat persetujuan serta pengesahan selain diberi penjelasan mengenai kaedah pembayaran,” katanya lagi.
Zaleha berkata ini merupakan promosi pertama dan julung kalinya diadakan oleh YWP di mana ia terbuka bukan sahaja kepada warga kota di Wilayah Persekutuan malah seluruh rakyat Malaysia.
“Antara objektif kami adalah untuk menjemput individu dan syarikat korporat untuk bersama-sama membantu golongan yang kurang berkemampuan di Wilayah Persekutuan menerusi Tabung Kebajikan dan Pelajaran YWP.
“Ramai dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang masih bergelut untuk meneruskan kelangsungan hidup,” ujarnya lagi.
Terdahulu, YWP berperanan menaik taraf kehidupan golongan miskin dan tidak berkemampuan di sekitar Wilayah Persekutuan sejajar dengan lima fokus utama iaitu Pendidikan, Ekonomi, Sosial, Agama dan Teknologi (P.E.S.A.T).
Sepanjang lima tahun kebelakangan ini, YWP telah membelanjakan tabungan mencecah lebih RM100 juta melalui pelbagai bentuk program kebajikan melibatkan pelbagai lapisan masyarakat terdiri daripada semua kaum, khususnya ketika pandemik COVID-19. – WILAYAHKU