Artikel

Menunggu senyuman daripada pekerja GISBH

BANDAR Country Homes dikatakan sebagai pusat ekonomi GISBH. - Gambar hiasan
- Diterbit 27 September 2024 5:34 PM MYT

Oleh ZULKIFLI SULONG

SAYA ada sembilan cucu sekarang. Cucu sulung saya perempuan, berumur sembilan tahun. Saya jarang benar melihat dia senyum. Usaha saya untuk memujuk dia senyum juga sukar.

Itu dua tiga tahun lalu.

Bulan lepas, keluarga beliau pindah ke rumah baharu, rumah yang lebih dekat dengan rumah saya. Rumah yang lebih besar dan lapang.

Sekarang, baru saya lihat, cucu sulung saya ini mudah senyum. Manis pula tu. Rupanya faktor suasana rumah yang selesa dan baik penting juga dalam kehidupan ini.

Tujuan saya cerita ini bukan hal cucu saya, tetapi isu Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH). Cerita cucu saya ini hanya sampingan sahaja.

Berhampiran dengan kejiranan saya, kira-kira dua kilometer (km) dari rumah, terletaknya pusat aktiviti GISBH iaitu di Bandar Country Homes, Rawang.

Di pusat ini, ada pelbagai jenis kedai berjenama Ikhwan. Ada sekolah, pusat media, klinik, pusat bersalin, medan selera dan juga kafe.

Jadi bila sudah bosan makan makanan yang sama, kami akan ke medan selera yang diuruskan oleh organisasi ini.

Tempatnya cantik, kemas dan menarik. Di sebelahnya ada rumah arnab, sarang burung yang besar dan juga boleh membuat aktiviti menunggang kuda. Makanan juga banyak pilihan.

Cuma satu sahaja yang saya tidak jumpa di sini, SENYUMAN.

Apabila kami makan di sini dengan keluarga, kami tidak jumpa senyuman daripada para pekerja medan selera ini. Bila kami ke tempat bermain kuda di sebelahnya, kami juga tidak lihat senyuman di wajah petugasnya.

“Kenapa muka mereka ketat je ye,” tanya isteri saya.

Pada mulanya, saya fikir, itu mungkin ajaran atau arahan GISBH atau majikan mereka kot. Tak boleh senyum kepada pelanggan. Maklumlah mereka ini bekas pengikut Al-Arqam, ada ajaran-ajaran tertentu yang hanya mereka yang lebih tahu.

Ketika itu, saya juga tidak ambil kisah sangat. Nak senyum ke, masam ke, lantak merekalah. Asalkan makanannya sedap dan boleh ubah rutin makanan di kawasan kami.

Namun, apabila terdedah pelbagai cerita tentang GISBH, baru saya mula terfikir, kenapa petugas mereka ini tidak senyum ye. Kenapa tidak ada senyuman di wajah mereka ye.

Saya masih ingat lagi. Ada seorang petugas wanita remaja yang agak cantik di gerai membuat jus buah-buahan di medan selera ini. Walaupun wajahnya agak cantik, tetapi baru saya perasan ada satu yang kurang padanya, tidak ada senyuman di wajahnya.

Ketika saya pesan jus buah, dia hanya selamba sahaja melayan kita dengan wajah ketat, tiada senyuman. Padahal kita beria-ia benar memesan jus buah daripada dia.

Rupanya, mengikut pendedahan terkini, ramai dalam kalangan petugas GISBH ini tidak mendapat gaji daripada majikan mereka. Mereka hanya diberikan pelbagai kemudahan oleh majikan. Pendek kata semua keperluan mereka disediakan oleh majikan.

Ada makanan, minuman, tempat tinggal, sekolah untuk anak-anak dan sebagainya. Anak-anak pula akan ditempatkan di rumah perlindungan anak-anak yatim, padahal anak ahli mereka sendiri.

Bahkan jika perlukan isteri diberikan isteri dan suami untuk petugas wanita. Hampir kesemuanya dalam kalangan mereka sendiri. Semuanya ditanggung oleh majikan mereka.

Jika tiada gaji bermakna mereka tiada wang dalam saku mereka. Jadi bagaimana hendak membeli dan berbelanja mengikut kehendak mereka?

Boleh kah mereka sekali-sekala keluar bercuti atau berehat di mana-mana selepas penat bekerja? Atau bolehkah sekali-sekala mereka healing dekat mana-mana tempat dan berjumpa kawan-kawan mereka di luar sana? Atau boleh ke sesekali pulang kampung bertemu ibu dan ayah mereka yang bukan ahli GISBH?

Saya terfikir kalau sudah tidak ada wang di saku, bagaimana mereka boleh membuat sesuatu yang menjadi kegemaran mereka. Kalau begitu, bagaimana mereka hendak senyum.

Ketika saya menulis artikel ini, saya baru sahaja membaca kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain tentang apa yang berlaku di dalam organisasi itu.

Razarudin berkata siasatan polis mendapati ada ahli GISBH yang berpoligami dengan beristeri empat mempunyai sehingga 34 anak.

“Ada berkahwin empat dan mempunyai 34 anak tetapi ada dua anak duduk dengan dia.

“Kalau kita tanya apa nama anak pun mungkin dia tidak tahu nama, tak ingat rupa anak,” katanya.

Siasatan polis katanya, mendapati operasi rumah amal dikendalikan GISBH dipromosikan sebagai rumah perlindungan anak yatim dengan niat untuk menipu bagi mendapatkan sumbangan dan derma orang ramai.

Razarudin berkata siasatan polis juga mendapati kanak-kanak di rumah-rumah amal itu didoktrinkan bahawa mereka ‘anak yatim’ dan tidak mengenali ibu bapa masing-masing.

“Hasil rakaman keterangan yang dibuat polis mendapati terdapat kanak-kanak terutamanya bawah 12 tahun yang tinggal di rumah kebajikan GISBH tidak mengenali ibu bapa mereka yang dalam kalangan ahli.

“Ada juga ibu bapa kanak-kanak yang kita selamatkan turut ditahan polis, mereka tidak mahu mengaku mereka (kanak-kanak yang diselamatkan) itu adalah anak mereka.

“Ini kerana GISBH juga memaparkan dalam laman web (sesawang) sumbangan untuk ‘anak yatim’ walhal sebenarnya mereka adalah anak-anak ahli,” kata Razarudin dalam sidang media beliau.

Apabila anak-anak ini membesar, merekalah sebenarnya yang menjadi pekerja di medan selera dan lain-lain operasi perniagaan GISBH yang berada di seluruh dunia itu.

Kalau itulah keadaannya, memang wajarlah kita tidak akan melihat senyuman di wajah mereka.

 INI adalah sekadar pandangan dari pengamatan penulis sahaja.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas