MENTERI Komunikasi Fahmi Fadzil mengumumkan bahawa beliau menarik diri daripada bertanding jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).
Beliau berkata keputusan itu diambil susulan keputusan Jemaah Menteri hari ini untuk tidak membenarkan Menteri atau Timbalan Menteri bertanding atau memegang jawatan presiden mana-mana persatuan sukan.
“Ia adalah berdasarkan satu keputusan Kabinet pada tahun 2007. Jadi kita putuskan hari ini bahawa kita akan teruskan amalan untuk tidak terlibat dan tiada pengecualian.
“Berkuat kuasa serta-merta, saya menarik diri daripada bertanding sebagai calon Presiden KLFA,” katanya pada sidang media mingguan Menteri Komunikasi di sini.
Fahmi berkata beliau telah merujuk keputusan itu kepada Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin. – BERNAMA