Berita

Menteri Luar Negeri adakan lawatan kerja di Bangkok

KREDIT foto: Facebook Mohamad Hasan.
- Diterbit 20 Disember 2024 7:25 PM MYT

MENTERI Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan sedang mengadakan lawatan kerja ke Bangkok, Thailand pada hari ini bagi menghadiri ASEAN Troika Informal Consultation and Extended Informal Consultation on Myanmar.

Menurut kementerian itu, mekanisme ASEAN Troika telah ditubuhkan oleh para pemimpin ASEAN pada tahun 2023 bagi memastikan kesinambungan usaha ASEAN dalam menangani krisis di Myanmar.

“Kini, ahli Troika terdiri daripada pengerusi ASEAN terdahulu, semasa dan akan datang, iaitu Indonesia, Laos dan Malaysia.

“Sesi Informal Consultation ini bertujuan memperkukuh penyelarasan dan kerjasama dalam kalangan ahli ASEAN Troika berkaitan pelaksanaan berkesan Kemuafakatan Lima Perkara(Five-Point Consensus – 5PC) serta ASEAN Leaders’ Review and Decision on the 5PC untuk mencari penyelesaian damai dan mampan untuk Myanmar,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Kementerian Luar Negeri, bagi sesi ‘Extended Informal Consultation pula, ASEAN Troika akan disertai oleh Menteri-Menteri Luar Negeri dan wakil-wakil daripada Negara-Negara Anggota ASEAN (AMS).

Katanya, sesi konsultasi itu akan tertumpu kepada usaha keseluruhan ASEAN dan hala tuju pelaksanaan 5PC dalam menangani krisis di Myanmar.

“Semasa mesyuarat-mesyuarat ini, Malaysia akan berkongsi pendekatan yang akan diambil dalam menangani konflik di Myanmar apabila Malaysia mengambil alih Kepengerusian ASEAN pada tahun 2025.

“Konsultasi ini akan dipengerusikan oleh Menteri Luar Negeri Laos sebagai Pengerusi ASEAN 2024.

“Konsultasi ini terus menekankan peranan penting ASEAN dalam menangani krisis di Myanmar serta memastikan keamanan dan keselamatan serantau,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas