Berita

Menteri Luar adakan lawatan rasmi ke Arab Saudi

Foto: BERNAMA
- Diterbit 9 Disember 2024 6:03 PM MYT

MENTERI Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengadakan Lawatan Rasmi ke Arab Saudi dari 10 hingga 14 Disember 2024.

Menurut Kementerian Luar Negeri, lawatan itu mempamerkan komitmen berterusan Malaysia untuk mengeratkan lagi hubungan dan mengukuhkan kerjasama dengan Arab Saudi dalam pelbagai sektor untuk kepentingan kedua-dua negara.

“Semasa lawatan ini, Menteri Luar Negeri akan mempengerusikan bersama mesyuarat pertama Majlis Penyelarasan Arab Saudi-Malaysia (SMCC) dengan rakan sejawat, Yang Mulia Putera Faisal bin Farhan Al-Saud, Menteri Luar Negeri Arab Saudi.

“SMCC merupakan mekanisme dua hala yang ditubuhkan untuk menggalakkan kerjasama dan bertindak sebagai badan penyelaras antara kedua-dua negara dalam lapan bidang utama,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut, Kementerian Luar Negeri, lapan bidang utama itu adalah politik, keselamatan, pertahanan, perdagangan dan pelaburan, tenaga dan alam sekitar, hal ehwal Islam, pendidikan dan sosio-budaya.

Kata kementerian itu, kedua-dua menteri juga dijadualkan untuk menandatangani dua Memorandum Persefahaman(MoU), iaitu MoU mengenai Kerjasama dalam Bidang Pembangunan Sosial dan MoU mengenai Pengecualian Visa untuk Lawatan Jangka Pendek kepada Pemegang Pasport Diplomatik dan Rasmi atau Khas.

“Menteri Luar Negeri juga akan mengadakan perbincangan peringkat tinggi dengan Menteri-Menteri Arab Saudi yang lain, termasuk Yang Mulia Putera Abdulaziz Saud Naifbin Abdulaziz, Menteri Dalam Negeri dan Tuan Yang Terutama Dr Tawfig Fazwan Al-Rabiah, Menteri Haji dan Umrah.

“Ini untuk membincangkan perkara yang saling berkepentingan dan meneroka bidang kerjasama baharu, dengan penekanan khusus terhadap sektor utama seperti keselamatan, visa, umrah dan haji serta kesalinghubungan,” katanya.

Dalam pada itu, Kementerian Luar Negeri berkata dari Januari hingga Ogos 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dan Arab Saudi bernilai RM30.09 bilion (USD6.43 bilion).

Tambah kementerian itu, pada tahun 2023, Arab Saudi merupakan rakan dagang terbesar Malaysia di Timur Tengah, dengan jumlah dagangan sebanyak RM50.52 bilion (USD11.06 bilion).

“Malaysia ialah rakan dagang terbesar Arab Saudi di kalangan Negara-negara Anggota ASEAN dan ke-7 terbesar di peringkat global,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas