SEMANGAT luar biasa dan aksi mengagumkan Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang berjaya mengekalkan pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris 2024 mendapat pujian bekas legenda negara.
Bekas pemain beregu lelaki negara, Koo Kien Keat berkata bukan mudah bagi pemain untuk mengekalkan semangat tinggi setelah tewas di peringkat separuh akhir sehari sebelumnya.
“Saya sangat menghormati mereka, bukan mudah untuk mengekalkan semangat dalam perlawanan penentuan pingat gangsa. Mereka menanam mentaliti seperti bermain untuk pingat emas,” ujar beliau.
Aaron-Wooi Yik yang ketinggalan 16-20 pada set kedua ketika menentang Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark berjaya mengejar empat mata untuk mengheret perlawanan ke set penentuan sebelum memenangi aksi penentuan gangsa 16-21, 22-20, 21-19 di Porte de La Chapelle Arena.
Pada edisi Tokyo 2020, Aaron-Wooi Yik berjaya menewaskan bekas juara dunia dari Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan untuk membawa pulang pingat gangsa.
Dalam pada itu, legenda skuasy negara, Datuk Nicol Ann David dalam hantaran di Facebook berkata Aaron-Wooi Yik memberikan persembahan kental dan luar biasa untuk mencipta sejarah sukan Malaysia.
“Kegigihan dan pengalaman yang ditunjukkan untuk bangkit daripada ketinggalan 20-16 pada set kedua, mereka mempunyai semangat kental dengan bertarung sehingga ke penghujungnya,” ujar Nicol yang juga Timbalan Chef de Mission pasukan Olimpik Malaysia.
Beliau berkata keyakinan dan pengalaman yang ada pada pasangan itu terbukti menjadi faktor penting dalam perlawanan.
Dalam masa sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada pemain badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia kerana berjaya meraih pingat gangsa pada Sukan Olimpik Paris 2024 malam Isnin.
“Tahniah Lee Zii Jia! Satu lagi persembahan memukau yang menghadirkan pingat gangsa kedua untuk negara!” katanya menerusi ciapan di platform X.
Pemain ranking ketujuh dunia itu meraih pingat gangsa menerusi aksi cemerlang menentang Lakshya Sen dari India, dengan bangkit daripada ketinggalan satu set dengan kemenangan 13-21, 21-16, 21-11 pada aksi penentuan pingat gangsa di Porte de La Chapelle Arena, Paris. – WILAYAHKU