Menjelang sambutan 50 tahun Bandar raya Kuala Lumpur : Dirgahayu selamanya

Menjelang sambutan 50 tahun Bandar raya Kuala Lumpur : Dirgahayu selamanya

SEKIRANYA anda mencari tempat menarik bagi merakamkan foto yang sempurna untuk dimuat naik ke Instagram atau Facebook, anda harus berkunjung ke beberapa bangunan bersejarah di sekitar Dataran Merdeka yang dilimpahi cahaya pada setiap malam.

Bangunan bersejarah yang berada di sekitar Dataran Merdeka itu sering menjadi lokasi kepada pelancong dalam dan luar negara itu akan diwarnai dengan lampu hiasan bagi meraikan ulang tahun perisytiharan Kuala Lumpur sebagai bandar raya yang akan disambut pada tanggal 1 Febuari 2022 ini.

SUTAN PUASA PENGASAS KL

SEJARAH panjang pembukaan Kuala Lumpur telah diasaskan Sutan Puasa, seorang pedagang dari Mandailing pada abad ke-19 sewaktu kebangkitan industri perlombongan bijih timah dan ia terus berkembang pesat pada awal abad ke-20 selari dengan perkembangan ladang getah di Selangor.

Kuala Lumpur kemudian menjadi ibu negeri Selangor serta Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1896. Ia kemudian menjadi ibu negeri kepada Malayan Union yang kemudian dipanggil Malaya dan hari ini dikenali sebagai Malaysia.

Latar sejarah yang dirintis setiap garis masa menjadi karakter kepada bandar raya ini yang turut menjadi saksi laungan kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 oleh Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman.  Di sebalik itu, Kuala Lumpur turut mencatatkan detik hitam
ekoran ketegangan politik yang membawa kepada rusuhan kaum yang berlaku pada tahun 1969. Kuala Lumpur kemudian diberi status bandar raya pada 1 Febuari 1972 oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah yang kemudian menyaksikan Allahyarham Tan Sri Lokman Yusof dilantik sebagai Datuk Bandar pertamanya.

Pengurniaan taraf bandar raya ini disebabkan perkembangan dan kemajuan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Persekutuan. Sekali lagi pada tanggal 1 Februari 1974, Kuala Lumpur berpisah daripada Selangor dan bandar raya ini kekal menjadi Wilayah Persekutuan sehingga hari ini.

Dalam tempoh 50 tahun Kuala Lumpur sebagai bandar raya, sudah pasti banyak perkara pahit dan manis dirakamkan. Dari kawasan berlembah, Kuala Lumpur telah berjaya membangunkan menara
berkembar Petronas dan pelbagai bangunan pencakar langit yang lain sekali gus ia berada di landasan yang betul ke arah negara maju. Ia juga menjadi tumpuan seluruh masyarakat yang berhijrah dari desa untuk mencari rezeki dan seterusnya merancakkan lagi pembangunannya.

KL KITA PUNYA

SEMPENA sambutan Jubli Emas Bandar Raya Kuala  Lumpur yang akan diraikan pada Februari tahun hadapan, pelbagai aktiviti telah dirancang dan ada yang telah pun mula dilaksanakan sejak penghujung
tahun lepas lagi. Sebanyak 50 aktiviti dan program menarik yang menampilkan acara seni dan persembahan, sukan serta aktiviti luar akan dilaksanakan sepanjang sambutan 50 tahun bandar raya
Kuala Lumpur pada tahun 2022.

Sambutan ini diadakan bagi memupuk rasa kesedaran dan sifat kesepunyaan (Sense of Belonging) warga kota terhadap bandar raya Kuala Lumpur melalui penglibatan yang lebih meluas dalam program dan aktiviti sambutan.

Sempena pelancaran Sambutan Jubli Emas Bandar Raya Kuala Lumpur pada Ahad, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, turut melancarkan Logo, Slogan dan Maskot yang akan
diguna pakai sepanjang tempoh sambutan dilaksanakan.

Mengangkat slogan Dirgahayu Kuala Lumpur, ia membawa maksud panjang umur dan ia merupakan satu doa semoga bandar raya Kuala Lumpur terus makmur dan sejahtera.

Logo sambutan ini yang digandingkan bersama logo DBKL melambangkan keselanjaran bandar raya Kuala Lumpur dengan DBKL. Evolusi pembangunan Kuala Lumpur digambarkan melalui reka bentuk
bangunan Stesen KTM sebagai antara bangunan paling awal di Kuala Lumpur, berkembang pesat sehingga berdirinya Menara Berkembar Petronas sebagai mercu tanda Kuala Lumpur yang ikonik.

Maskot rasmi sambutan ini merupakan manifestasi Sungai Gombak dan Sungai Klang yang menjadi titik permulaan Kuala Lumpur. Pada pertemuan dua sungai ini, ia telah menjadi saksi pembangunan
Kuala Lumpur. Maskot ini digambarkan sebagai mesra dan berkeyakinan menggambarkan sifat dan
semangat warga kota untuk terus maju ke hadapan mengharungi cabaran urbanisasi. – WILAYAHKU

Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )