Artikel

Mengatasi isu penjaja Taman Tasik Titiwangsa

- Diterbit 3 Februari 2024 9:05 AM MYT

SEBELUM ini kawan-kawan Kedai Kopi pernah utarakan isu masalah penjaja yang memenuhi kawasan Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur, sehingga menimbulkan rungutan orang ramai dan­penduduk setempat.

Orang ramai kesal kerana penjaja mengambil banyak ruang parkir untuk berniaga, baik dengan mendirikan khemah atau memparkir trak makanan. Kerana itu mereka yang datang untuk bersantai atau beriadah di taman tasik berkenaan menghadapi masalah meletak kenderaan.

Penduduk setempat pula mendakwa kehadiran penjaja menyebabkan persekitaran sesak, selain bunyi bising. Penjaja juga didakwa tidak menjaga kebersihan, membiarkan sampah sarap dibuang di kawasan mereka berniaga. Malah ramai peniaga dikatakan beroperasi tanpa lesen.

Isu berkenaan kini dalam perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa. Beliau mahu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memantau kegiatan berniaga di Taman Tasik Titiwangsa demi keselesaan penduduk setempat serta pengunjung.

Beliau juga memberi masa sebulan kepada DBKL memastikan taman tasik tersebut kekal menjadi tempat rekreasi dan riadah untuk warga kota seperti tujuan asal ia diwujudkan.
Andaian kawan-kawan Kedai Kopi ialah isu utama yang menjadi punca, iaitu masalah penjaja, akan diatasi. Mungkinkah penjaja akan ditempatkan di satu kawasan khas tanpa menganggu petak parkir dan keselesaan penduduk?

Mengenai petak parkir, sebenarnya bukan sahaja dimonopoli oleh penjaja tetapi banyak petak parkir diambil oleh pengusaha basikal sewa. Jumlahnya bukan sedikit, menyebabkan petak parkir yang diambil juga banyak.

Kawan-kawan Kedai Kopi bukan membantah kehadiran penjaja atau pengoperasi basikal sewa di Taman Tasik Titiwangsa, mereka juga perlu mencari rezeki.

Cuma yang dimahukan ialah mereka beroperasi secara teratur, tidak mengganggu penduduk atau pengunjung taman. Kerana itu seelok-eloknya mereka beroperasi dari tempat khusus yang mudah diakses oleh orang ramai.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas