ISTIMEWA buat seluruh rakyat Malaysia termasuk pelancong antarabangsa, Menara Kuala Lumpur (KL) akan mengadakan Promosi ‘Merdeka Madness 66% For All’ sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-66.
Ketua Pegawai Eksekutif Menara KL, Nazli Saad berkata promosi yang julung kali diadakan dimana para pengunjung dapat menikmati diskaun sebanyak 66 peratus bagi semua tiket ke tarikan-tarikan yang terdapat di lokasi berkenaan.
“Bermula 1 Ogos sehingga 16 September ini, para pengunjung berpeluang menerokai tarikan-tarikan di Menara KL seperti Sky Deck, Sky Box, Observation Deck dan Towerr Walk 100.
“Harga tiket bermula daripada RM7.00 bagi lawatan ke Observation Deck atau Tower Walk 100 manakala tiket masuk ke Sky Deck dan Sky Box pula harga yang ditawarkan adalah bermula RM13 sahaja.
“Selain itu, Menara KL juga menawarkan pakej kombo di mana para pengunjung boleh melawat ke Sky Deck, Sky Box dan Observation Deck dengan harga RM35 bagi dewasa (MyKad) iaitu jauh lebih murah berbanding harga biasa RM101 dan RM59 bagi dewasa tanpa MyKad,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Promosi ‘Merdeka Madness 66% For All’ di Menara Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Nazli, harga yang ditawarkan oleh Menara KL amat berbaloi untuk dinikmati para pengunjung dan ia juga adalah hadiah istimewa sebagai tanda penghargaan kepada pengunjung yang sentiasa menyokong sejak tahun 1996 sehingga kini.
Lebih Istimewa, Nazli memberitahu promosi ini bukan sahaja boleh dinikmati oleh rakyat Malaysia tetapi ia turut menawarkan diskaun tersebut kepada pengunjung antarabangsa.
“Inisiatif ini adalah untuk merancakkan dan mempromosikan industri pelancongan di Malaysia kepada pelancong dalam dan luar negara.
“Justeru itu, kami berharap promosi ini akan membuka peluang kepada semua masyarakat Malaysia bersama-sama menikmati keunikan yang terdapat di Menara Kuala Lumpur di samping merancakkan lagi industri pelancongan negara.
“Untuk maklumat lanjut mengenai promosi ini, hubungi talian khidmat pelanggan Menara Kuala Lumpur di talian 03-2020 5421 atau layari media sosial rasmi Menara Kuala Lumpur di Facebook, Instagram dan TikTok,”jelasnya. -WILAYAHKU