Berita

Menara KL ditutup buat sementara waktu

Foto: Menara Kuala Lumpur
- Diterbit 17 April 2025 10:00 AM MYT

BANGUNAN Menara Kuala Lumpur akan ditutup buat sementara waktu bagi memberi ruang kepada pengurusan baharu membuat kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan.

Menurut Kementerian Komunikasi, ia juga demi keselamatan dan keselesaan pengunjung sepanjang kerja-kerja tersebut dilaksanakan.

“Tarikh pembuknaan semula Menara Kuala Lumpur akan dimaklumkan melalui pelbagai saluran media,” jelasnya dalam kenyataan.

Dalam pada itu menurut kenyataan tersebut, Kerajaan MADANI menerusi Kementerian Komunikasi menegasskan bahawa Menara Kuala Lumpur ialah milik kerajaan.

Jelasnya, bermula 1 April lalu, pengoperasian, pengurusan dan penyelenggaraan Menara Kuala Lumpur telah diambil alih oleh syarikat LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM).

“Pendudukan syarikat Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) di atas tapak Menara Kuala Lumpur selepas 31 Mac 2025 adalah tidak sah.

“Sehubungan itu, Pesuruhjaya Tanah Persekutuan telah mengemukakan dua notis pengosongan kepada pihak MKLSB melalui surat bertarikh 3 dan 9 April 2025,” katanya.

Kementerian Komunikasi menambah, oleh itu sebarang pengoperasian dan urus niaga yang masih dijalankan oleh MKLSB hingga kini adalah tanpa kebenaran kerajaan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas