INISIATIF diambil oleh Komuniti Keluarga Malaysia Taman Cheras Utama (KMTCU) dengan kerjasama Badan Bukan Kerajaan (NGO), NAGAAPI bukan sekadar berhasil membudayai seni bela diri dalam komuniti, malah menarik minat anak-anak bersama mempelajarinya.
Usaha itu jelas Pengerusi Komuniti KMTCU, Datuk Abdul Rahim Mad Ali, bertujuan bagi memupuk minat anak muda terhadap seni bela diri yang merupakan sebahagian dari budaya tradisi yang wajar dipertahankan.

Beliau berkata pendekatan diambil bukan sahaja mampu memberikan kesan positif terhadap pengisian aktiviti sosial golongan muda, malah ia turut menarik minat anak kecil berusia 8 hingga 12 tahun turut serta.
“Hasil usaha sama kami komuniti penduduk di sini dengan NAGAAPI telah pun berhasil mewujudkan kelas seni bela diri yang akan diadakan di Dewan Komuniti TCU ini setiap minggu yang menjadi antara aktiviti riadah sosial yang bermanfaat.
“Selain pelbagaikan aktiviti sukan sedia ada seperti bola sepak, takraw, futsal, seni bela diri Gerak Tempur NAGAAPI turut menjadi fokus kita membentuk jati diri anak muda sebagai pelapis negara di masa hadapan seterusnya dapat warisi adat dan budaya bangsa,” katanya juga Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) TCU.
Turut hadir Pengerusi Persatuan Penduduk Rumah Teres TCU, Taufik Ismail; Pengerusi Perkim Cawangan TCU, Mohd Nasir Mahalil selain Presiden NAGAAPI, Kamarul Aznan Kamaruddin serta Penasihat NAGAAPI, Shahruddin Abd Aziz.

Dalam sesi pengenalan seni Gerak Tempur NAGAAPI hasil inisiatif Komuniti KMTCU disokong persatuan penduduk serta NGO setempat itu telah berjaya menarik minat lebih 20 kanak-kanak sambil ditemani ibu bapa, hadir mendaftar selain berpeluang mempertonton kelincahan seni silat.
Sementara itu bagi Penaung NAGAAPI, Che Mahmud Che Ibrahim, usaha sama dijalin komuniti TCU menjadi landasan kondusif memperkenal seni silat dalam masyarakat seterusnya mengamalkannya sebagai satu cara mempertahankan diri.
Katanya, pihak NAGAAPI menyambut baik usaha sama yang dirintis komuniti TCU ke arah menyemarakkan lagi seni silat yang merupakan sebahagian daripada warisan adat dan budaya yang perlu dikekalkan.
“Penerimaan masyarakat terhadap bidang seni bela diri ini adalah satu perkembangan positif yang seterusnya dapat kekalkannya dalam diri anak muda kita.
“Selain TCU kami turut mengembangkan kelas seni bela diri ini ke beberapa lokasi lainnya termasuk Putrajaya dan Cyberjaya dengan dikendalikan oleh tenaga pelatih yang berwibawa,” katanya. -WILAYAHKU