
Mek Habsah meninggal dunia akibat masalah paru-paru kronik
PENYANYI, pelakon dan pelawak era 1980-an Mek Habsah meninggal dunia pada usia 67 tahun jam 2.45 pagi tadi.
Allahyarham Mek Habsah atau nama sebenarnya Habshah Bakar menghembuskan nafas terakhir di Institut Perubatan Respiratori (IPR) Kuala Lumpur akibat masalah paru-paru kronik.
Berita duka ini disahkan oleh anak sulungnya, Rosmawaty Rahamis.
Cucu Allahyarham, Huraimi Hilman juga memaklumkan berita kematian neneknya menerusi Facebook.
“Selamat berehat nendaku Habshah Bakar. Innalillahiwainnailaihirajiun.
“Daripada Allah kita datang, kepada Allah kita kembali,” tulisnya.
Terdahulu, Mek Habsah sudah lebih 20 tahun menderita sakit paru-paru kronik dan sering keluar masuk hospital untuk mendapatkan rawatan.
Allahyarham terpaksa bergantung kepada bantuan pernafasan oksigen untuk memudahkannya melakukan aktiviti seharian.
Mek Habsah dimasukkan semula ke Institut Perubatan Respiratori (IPR) Kuala Lumpur sejak 12 Julai lalu sehinggalah menghembuskan nafas terakhir pagi ini.
Jenazah Mek Habsah akan dibawa ke Masjid Bilal bin Rabah di Taman Koperasi Polis 1 pada jam 10 pagi ini untuk diuruskan dan penghormatan terakhir.
Urusan pengebumian akan dilakukan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Taman Selasih Fasa 2, Kuala Lumpur, pada jam 2.30 petang ini.
Menyentuh tentang kerjaya, selain popular menerusi filem Litar Kasih bersama Faizal Hussein dan Azhar Sulaiman, Mek Habsah pernah muncul dengan album atas siri Asam Pedas bersama Allahyarham Datuk Yahya Sulong dan Allahyarham Maidin. – WILAYAHKU