SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyiasat seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun kerana disyaki memuat naik kandungan palsu berunsur 3R yang menyentuh sensitiviti agama.
MCMC dalam kenyataan berkata, kandungan yang dipercayai dimuat naik menerusi laman aplikasi Facebook milik individu tersebut pada 9 Mac 2025 lalu mendakwa laungan azan melalui pembesar suara di Masjid Ayer Kuning tidak lagi dibenarkan ketika ini.
“Sesi rakaman percakapan dan siasatan lanjut telah dijalankan di Balai Polis
Taiping semalam (12 Mac 2025). Sebuah telefon bimbit serta satu sim kad telah
disita bagi tujuan analisis forensik.
“Kes disiasat di bawah seksyen 233 (1)(a) Akta 588 dan jika sabit kesalahan,
individu terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara
maksimum sehingga dua (2) tahun atau kedua-duanya sekali,” ujar MCMC.
Terdahulu, pasukan Penguatkuasa MCMC telah menyerahkan satu notis
kehadiran di bawah seksyen 255 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta
588) kepada individu terbabit bagi menghadiri sesi rakaman percakapan dan siasatan lanjut.
Dalam masa sama, MCMC turut menasihatkan orang ramai agar menggunakan platform
media sosial dengan penuh tanggungjawab serta berhemah dan tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang kandungan berunsur 3R yang boleh mengancam keharmonian kaum dan agama di negara ini. – WILAYAHKU