Berita

MCMC siasat individu muat naik isu kaum

- Diterbit 16 Mei 2025 5:30 PM MYT

SEORANG pengguna Facebook disiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) susulan aduan awam berkenaan kandungan berunsur perkauman yang dimuat naik di Facebook.

MCMC dalam kenyataan berkata, ia berpotensi menjejaskan sensitiviti masyarakat etnik di Sarawak.

“Sebagai sebahagian daripada proses siasatan, seorang individu telah hadir
memberi keterangan kepada pihak MCMC pada Khamis, 15 Mei 2025.

“Sebuah telefon bimbit dan satu unit kad sim disita bagi membantu siasatan lanjut.
Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk
arahan dan tindakan selanjutnya,” ujar kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
(AKM 1998), yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000,
penjara sehingga dua (2) tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan
kesalahan.

“Orang ramai adalah dinasihatkan agar sentiasa bertanggungjawab dan beretika
ketika memuat naik atau berkongsi kandungan di platform dalam talian.

“Sebarang penyebaran kandungan jelik melampau, khususnya yang menyentuh
sensitiviti kaum, agama atau Institusi Diraja, adalah satu kesalahan serius dan
tidak akan dikompromi,” ujar kenyataan tersebut. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas